Saturday, July 26, 2014

PKR mahu PAS ingat isu MB Kedah

26 Jul 2014
Setiausaha agung PKR Datuk Saifuddin Nasution mendakwa PAS menyatakan komitmen yang berbeza dengan kenyataan presiden parti itu Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung isu kedudukan menteri besar Selangor.

Saifuddin mendakwa, wakil PAS serta wakil parti Pakatan Rakyat dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan, Rabu lalu, telahpun menerima usul agar Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim di jawatan tersebut.

Katanya, mesyuarat itu disertai enam orang pemimpin kanan PAS – timbalan presiden Mohamad Sabu, setiausaha agung Datuk Mustafa Ali, dua orang naib presidennya,  Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Husam Musa, ketua pemuda Suhaizan Kaiyat, serta AJK PAS Pusat Dr Hatta Ramli.

"Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang membawa mandat dari parti masing-masing pada hari itu mengesahkan komitmen setiap parti bahawa pada dasarnya, PAS dan DAP menghormati prinsip pencalonan jawatan Menteri Besar adalah dari PKR.

"Oleh yang demikian, PKR akan berpegang kepada keputusan rasmi Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat itu dalam hal pertukaran Menteri Besar Selangor

"Kaedah dan prinsip inilah yang selama ini telah digunakan dalam menentukan menteri besar di negeri-negeri Pakatan Rakyat yang lain seperti Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan," kata beliau dalam kenyataan media hari ini.

Pendirian itu bertentangan dengan kenyataan presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam, yang dilaporkan menyokong Khalid meneruskan khidmat sebagai menteri besar.

Hadi berkata hasil penelitian dan kaji selidik dilakukan beliau sendiri melalui beberapa pihak sama ada dalam PAS mahupun pihak luar, didapati majoriti Selangor masih bersetuju Khalid dikekalkan sebagai menteri besar, namun bergantung kepada perkenan Sultan Selangor.

PKR hormat isu MB Kedah

Saifuddin turut mengingatkan PAS bahawa PKR sebelum ini "menghormati" keputusan yang diambil parti Islam itu ketika menghadapi kemelut berhubung jawatan menteri besar Kedah.

Oleh yang demikian, PKR menuntut PAS menunjukkan sikap yang sama dalam isu jawatan menteri besar Selangor.

"Malah, dalam pergolakan membabitkan jawatan Menteri Besar Kedah sebelum Pilihanraya Umum ke-13, PKR mengambil pendirian menghormati sepenuhnya prinsip pencalonan jawatan menteri besar Kedah adalah dari PAS walaupun ada pelbagai permintaan dari pimpinan Pakatan Rakyat yang lain supaya PKR turut menyatakan pendirian sama ada mahu Menteri Besar ditukar atau tidak.

"Saya percaya semangat ukhuwah dan saling menghormati prinsip pencalonan sebegini akan terus menguatkan Pakatan Rakyat," kata beliau. Malaysiakini

1 comment:

  1. Dan kami tetap ingat juga kejatuhan kerajaan pakatan di negeri Perak....

    ReplyDelete