Monday, September 29, 2014

Bajet 2015: Kerajaan diberi amanah, jauhi sifat Qarun

NASRUDIN HASSAN | .
1. Detik 10 Oktober ini pastinya perhatian seluruh rakyat Malaysia akan tertumpu kepada pembentangan Bajet 2015 yang akan dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Ia adalah belanjawan negara yang terakhir bagi Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) yang telah dibentangkan pada hari Khamis, 10 Jun 2012.

2. Berikutan kemerosotan sokongan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada tahun lalu, Bajet 2015 mesti memiliki keistimewaan tertentu bagi memastikan ia berupaya untuk mengukuhkan kembali sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional. "Berita baik" dengan pemberian “ole-ole” kepada rakyat oleh Kerajaan dalam Bajet 2015 pasti akan diuar-uarkan dan dihebahkan secara luar biasa seperti biasa terjadi pada tahun-tahun lalu.

3. Keraguan terhadap jawapan munasabah yang boleh diberikan oleh kerajaan melalui pembentangan Bajet 2015 bagi persoalan adakah cukai pendapatan akan dikurangkan, adakah rebat cukai jalan akan dipanjangkan, adakah subsidi akan diteruskan, dan bermacam-macam lagi persoalan yang bermain di minda rakyat hari ini akan berjaya dijawab oleh Kerajaan hanya dengan pemberian “ole-ole” dan pemberian ‘one-off’ yang “wow” sehingga kesemua persoalan tadi - bagi sebilangan besar orang – sudah tidak penting lagi.

4. Hakikatnya, lebih ringgit yang diberikan secara “percuma” kepada rakyat bermakna lebih ringgit yang dipungut oleh kerajaan dari poket rakyat melalui kutipan cukai serta kenaikan harga barang dan perkhidmatan. Ia dipanggil bajet kerana kerajaan memiliki suatu jumlah wang yang terhad dan tetap untuk dibelanjakan pada setiap tahun. Bajet yang dibentangkan adalah sekadar berkisar pilihan kerajaan untuk menambah atau mengurangkan nilaian ‘RM’ dalam apa-apa sektor.

5. Bajet yang dibentangkan mestilah mengutamakan golongan marhaen, bukannya melebihkan golongan bangsawan. Kerajaan selaku yang diberi amanah oleh Allah untuk mengurus hasil bumi mesti menjahuhi sifat Qarun yang merasakan bahawa kemewahan dan kemegahan yang dimiliki itu berpunca dari kebijaksanaan dan kepandaiannya. Allah merakamkan kata-kata Qarun di dalam al-Quran:

قَالَ إِنَّمَا أُوتِيتُهُ عَلَىٰ عِلْمٍ عِندِي

maksudnya, “Sesungguhnya aku hanya diberi harta itu kerana ilmu yang ada padaku.” (Surah Al-Qashah: 78)

Kemewahan dan kemegahan yang dianugerahkan oleh Allah kepadanya itu menyebabkan dia kemabukan dan kesombongan menggunakan sewenang-wenangnya harta yang dimilikinya untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai ‘orang kaya baru’.

6. Selain itu, agar apa yang Allah sebutkan dalam firman-Nya

كَيْ لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاءِ مِنكُمْ

Maksudnya “...supaya harta-harta itu tidak beredar di antara orang-orang kaya dalam kalangan kamu...”, (Surah Al Hasyr: 7)

dapat dicapai melalui pelaksanaan Bajet 2015, ia mesti diagih secara adil dan saksama kepada orang yang berhajat (sangat memerlukan) kepada harta itu serta menjauhi apa yang dilarang oleh Allah dan Rasulullah termasuklah rasuah, riba dan monopoli. Apa yang disuruh oleh Allah dan Rasulullah seperti perintah memungut zakat, galakan infaq, menderma dan wakaf juga mesti diurus sesuai dengan tujuan pensyariatannya.

7. Unsur-unsur ini amatlah penting bagi memastikan keberkatan harta dan jaminan rezeki yang melimpah ruah bagi menampung kesemua keperluan. Harta adalah amanah Allah.
Penulis ialah Ahli Parlimen Temerloh.

No comments:

Post a Comment