Monday, September 29, 2014

Exco tekad eratkan kerajaan negeri dengan anak muda

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Barisan Exco Kerajaan Selangor dari kalangan Adun muda bertekad membawa nafas baru yang lebih mesra anak muda ke dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Adun Taman Templer Zaidy Abdul Talib berkata fokus akan diberikan untuk menambahbaik program sedia ada bagi merapatkan hubungan antara kerajaan negeri dengan generasi muda.

“Di Selangor banyak calon anak muda dan dalam exco juga nampaknya kepercayaan banyak diberikan kepada anak muda dan ini disebabkan Pakatan Rakyat (PR) melihat betapa pentingnya potensi anak muda diketengahkan dan menjadi barisan hadapan untuk memberi khidmat kepada rakyat," ujarnya dipetik Selangor Kini.

Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS negeri berkata, kepercayaan itu dilihat juga berdasarkan jumlah pengundi ramai di kalangan anak muda.

"Kepimpinan anak muda inilah mampu merasai denyut nadi anak muda dan selepas ini banyak program di Selangor ini dapat diolah supaya kita dapat mengambil kira dari sudut kehendak atau aspirasi anak muda.

“Program sedia ada memang dah cantik sebenarnya tetapi kita boleh tambah baik lagi, diolah semula bagi mendekatkan lagi dengan jiwa anak muda sebab hanya orang muda sahaja yang memahami anak muda,” kata Zaidy.

Bagi Adun Batu Caves, Amiruddin Shari pula percaya golongan muda dalam barisan exco yang baru mampu membawa idea lebih segar.

“”Kita harap kita akan dapat bawa idea dan kaedah baru dalam pentadbiran kerajaan negeri dan saya pasti kami mampu merapati anak muda kerana komunikasi yang kami gunakan seperti media sosial dan sebagainya sama dengan kaedah yang menjadi kegemaran anak muda lain.

“PR juga memberi contoh yang baik apabila kita dapat lebih 30 peratus barisan kepimpinan kita dibarisi oleh generasi mudam" katanya.
Ini, tambah beliau adalah pengiktirafan kepada anak muda di Malaysia untuk dilaksanakan Kerajaan Negeri PR Selangor.

No comments:

Post a Comment