Sunday, September 14, 2014

Kami datang beri sokongan penuh pada calon kita - Wanita PKR

SALMAH MAT HUSAIN | .
TUMPAT: Wanita Pakatan Rakyat menyokong penuh kepada calon PAS pada PRK Pengkalan Kubor, Wan Rosdi Wan Ibrahim yang mewakili calon Pakatan Rakyat.

Pada masa yang sama mereka menyifatkan calon berkenaan begitu sinonim dengan masyarakat berikutan sentiasa bersama rakyat setelah menjadi Penyelia Dun Pengkalan Kubor sejak beberapa penggal lalu.

Naib Ketua Wanita PKR Malaysia, Dr Daroyah Alwi, berkata pada masa yang sama pihaknya menyatakan sokongan penuh terhadap calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat.

“Kami datang beramai-ramai bersama pimpinan PKR Pusat, AMK Pusat dan negeri untuk menyatakan sokongan moral kami kepada calon kita.

“Untuk itu saya menyeru semua Wanita PKR seluruh negara termasuk cabang-cabang di negeri ini turun membantu calon kita yang akan bertanding,” ujarnya ketika ditemui semasa proses penamaan calon PRK Dun Pengkalan Kubor hari ini.

Jelasnya, Wanita PKR akan membantu gerak kerja bersama Muslimat PAS sama ada peringkat Pusat atau negeri bagi menyelaraskan program.

“Muslimat PAS di hadapan, kami akan membantu bersama-sama dari belakang,” ujarnya.

Bagi Ketua Muslimat PAS, Siti Zailah Mohd Yusoff, calon Pakatan Rakyat sebenarnya lebih dekat di hati rakyat, bergerak aktif dalam parti hingga ke peringkat bawahan sehingga rakyat mengenalinya.

"Kak Lah yakin dengan kebolehdan dan pengalaman yang ada disamping sifat peribadinya yang lembut dan sering menyantuni masyarakat akan memberi saham yang cukup tinggi baginya pada PRK ini.

“Calon kita ni memang mampu malah telah memberi perkhidmatan yang cukup baik pada rakyat selama ini,” ujarnya.

Sehubungan itu Zailah mengucapkan terima kasih pada semua pimpinan PKR yang memberi laluan kepada calon PAS untuk mewakili Pakatan Rakyat.

Katanya, dengan semangat setia kawan dalam Pakatan Rakyat, diharap Dun Pengkalan Kubor dapat dirampas semula pada PRK kali ini. - HARAKAHDAILY 13/9/2014

No comments:

Post a Comment