Friday, September 19, 2014

Terus Beristiqamah padam tuduhan terhadap PAS

MUHAMMAD FAIZAL|FOTO M NASIR | .
BATU PAHAT: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan ucapan dasar Presiden PAS pada Muktamar Tahunan PAS Ke 60 dengan tema 'Terus Beristiqamah' sebagai bukti ketegasan PAS untuk terus bersama-sama dalam Pakatan Rakyat.

Jelas beliau, ketegasan ini turut memadam kegelisahan dan keresahan masyarakat khususnya Pakatan Rakyat yang mungkin bimbang dengan pendirian PAS di dalam Pakatan Rakyat.

"Rakyat digembar gembur oleh manupulasi media mengenai pendirian PAS, mereka mengatakan PAS akan meninggalkan Pakatan Rakyat.

"Tetapi hari ini Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan melalui istilah istiqamah PAS untuk terus memegang kepada perjanjian yang telah dibentuk dalam Pakatan Rakyat," katanya kepada Harakahdaily.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut berkata, PAS tidak akan sesekali menyertai Umno atau Barisan Nasional (BN) sebagai pendirian jelas parti itu.

"Mengatakan PAS akan sertai Umno itu tidak sama sekali berlaku dan mustahil, Presiden tegas dalam soal ini.

"Ucapan beliau menunjukkan PAS terus beristiqamah dalam perjuangan dalam masyarakat dan rakyat Malaysia untuk merubah masa depan Malaysia.

"Ini dapat meredakan keresahan hati anggota dan memadamkan dakwaan serta tuduhan yang dilemparkan kepada PAS," sambung beliau.

Mahfuz turut memberitahu keputusan mengadakan muktamar di Johor sebagai satu isyarat yang penting dan diterima oleh pimpinan serta ahli PAS di Negeri Johor bahawa ia merupakan satu lonjakan besar PAS.

"Kita akan melihat suatu hari PAS di Johor akan melonjak dengan lebih jauh serta mendapat sokongan rakyat pada pilihanraya umum yang akan datang.

"Ini juga merupakan satu isyarat bahawa PAS bersedia untuk mengalas amanah rakyat Johor pada akan datang," sambung beliau. - HARAKAHDAILY 18/9/2014

No comments:

Post a Comment