Zaidy 
  • Zaidy
SELAYANG - Segala krisis pentadbiran dalam Selangor selesai dan kini memberikan tumpuan untuk memulihkan kecacatan hubungan dalam PR.
Ketua Penerangan Pas Selangor yang juga Adun Taman Templer, Zaidy Abdul Talib berkata, fokus parti itu kini adalah membuat kerja dan menjaga kebajikan rakyat.
Menurutnya, baki tiga tahun sebelum pilihan raya harus digunakan sebaiknya untuk menjalankan amanah yang diberi.

“Pas berharap pengurangan satu kerusi Exco (Pas) tidak dipolitikkan sebaliknya meminta semua pihak memberikan sokongan untuk pembangunan Selangor.

“Kita dah bazirkan sembilan bulan untuk krisis ini sedangkan kita dipilih menjadi wakil rakyat bukan untuk tujuan itu. Semua pihak menumpukan kepada kerja dan menghentikan kenyataan yang boleh menjejaskan hubungan dalam parti,” katanya, semalam.
Beliau ditemui selepas selesai program Dhuha Dikir Zikir anjuran pusat Khidmat Masyarakat Dun Taman Templer dengan kerjasama Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang diadakan di kawasan lapang depan stadium Selayang bermula jam 8.30 pagi.

Kira-kira 200 pengunjung hadir memeriahkan program yang turut menampilkan kumpulan Unic membuat persembahan dikir zikir dan sembang santai bertajuk ‘Qurban: Untaian Tali Takwa’.

Jumaat lalu Zaidy dilantik menjadi salah seorang Exco Kerajaan Negeri bersama dua lagi wakil Pas iaitu Iskandar Samad dan Dr Ahmad Yunus Khairi.

Zaidy ketika diminta mengulas pelantikan tersebut katanya, beliau menganggap itu adalah kepercayaan dan amanah yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab.

“Saya akan cuba sebaiknya untuk membawa pembaharuan dalam pentadbiran dengan memberikan idea bernas untuk manfaat masyarakat terutamanya golongan sasar.

“Tak kisah apa saja portfolio yang diberikan, saya akan cuba yang terbaik untuk memenuhi kehendak dan kita mengalu-alukan sebarang pandangan daripada orang ramai ke arah pentadbiran lebih baik,” katanya.