Saturday, October 25, 2014

Anak muda beri isyarat tidak setuju naik harga minyak

MUHAMMAD FAIZAL | .
MELAKA: Pemuda PAS Malaysia ‎menyifatkan kempen berterusan perlu dilakukan bagi memastikan rakyat lebih sedar tentang kesan kenaikan harga minyak.

Ketua Pemuda PAS Melaka, Jauhar Muhammad Dawi berkata, anak muda mula memberi isyarat tidak bersetuju dengan kenaikan harga minyak yang diumumkan kerajaan sebanyak 20 sen seliter sebelum ini.

‎"Hari ini kita dapat melihat anak muda mula memberi isyarat bahawa mereka juga menolak dasar kerajaan yang menekan hidup rakyat terutamanya soal kenaikan harga minyak.

"‎Anak muda semakin matang dan bakal mengubah arus politik di Melaka, tetapi kempen ini harus berterusan agar mereka akan lebih faham," katanya kepada Harakahdaily.

Tambah beliau lagi, perubahan anak muda bukan hanya setakat sambutan pada program jelajah hari ini tetapi turut berlaku pada laman sosial.

"Kesedaran secara mendadak berlaku akibat dari kenaikan harga minyak apabila mereka melihat sejak kenaikan tersebut harga barang terus mendadak naik.

"Walaupun kenaikan hanya 20 sen seliter tetapi kesannya amat teruk, kita akan meneruskan kempen protes ini agar maklumat akan terus sampai kepada rakyat," sambung beliau pada program Jelajah Penerangan Rakyat Protes di negeri ini hari ini.‎

Jauhar turut memberitahu kempen penerangan yang dilakukan hari ini cukup memberi kesan kepada rakyat Melaka.

"Pemuda PAS Melaka akan mengerakkan kempen ini ‎secara berskala, kita berpuas hati dengan perjalanan jelajah kempen di negeri ini.

"Kerjasama baik Pemuda PAS Pusat dan juga NGO telah melancarkan perjalanan kempen," katanya.‎

Kempen Penerangan Jelajah Rakyat Protes di Melaka hari ini meliputi empat kawasan iaitu Jasin, Kota Melaka, Alor Gajah dan Masjid Tanah.

Turut hadir pada program itu adalah‎ Ketua Penerangan Pemuda PAS Malaysia, Mohd Nasaie Ismail.

Sementara itu satu himpunan besar-besaran rakyat protes kenaikan harga minyak dan kos sara hidup akan diadakan di KLCC pada 7 November depan pada jam 2 petang. - HARAKAHDAILY 25/10/2014

No comments:

Post a Comment