Azmin Ali 
  •  Azmin Ali
SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali hari ini mengumumkan memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kewangan, Pembangunan Tanah, Pengurusan Sumber Alam, Majlis Tindakan Ekonomi Selangor dan Penerangan bagi Exco Kerajaan Negeri Selangor.
Pelantikan tersebut diumumkan beliau dalam satu sidang media selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Selangor pertama yang diadakan di sini, hari ini.

Sebelum ini, portfolio tersebut pegang oleh penyandangnya yang terdahulu iaitu bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Abdul Khalid sebelum ini dilaporkan memegang portfolio sebagai Exco Pembangunan Tanah, Kewangan, Majlis Tindakan Ekonomi Negeri, Belia dan Sukan bagi Selangor sejak tahun 2008.

Selain beliau, 10 lagi Exco Kerajaan Negeri Selangor dilantik dengan  portfolio baharu bagi melancarkan pentabiran kerajaan negeri ini.

Antara Exco Selangor yang diumumkan pelantikannya ialah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Iskandar Abdul Samad; Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong Keat Ping; Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian (IKS), Perdagangan dan Pengangkutan, Datuk Teng Chang Khim; Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baharu, Ean Yong Hian Wah dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dr. Ahmad Yunus Hairi.

Manakala Exco bagi portfolio Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga pula diserah kepada Dr Daroyah Alwi; portfolio  Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang diserah kepada Ganabatirau Veraman; portfolio Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Invonasi diserahkan kepada Nik Nazmi Nik Ahmad, Pengerusi bagi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda,  Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan diserah kepada Amirudin Shari dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Insfrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani diserahkan kepada Zaidy Abdul Talib.