Azmin Ali 
  •  Azmin Ali
SHAH ALAM - Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali perlu membuktikan mampu membela rakyat dengan menjadi diri sendiri tanpa perlu dibayangi pemimpin lain.
Penganalisis Politik, Prof Madya Dr Ismail Sualman berkata, Azmin perlu membuktikan kewibawaannya menyelesaikan masalah rakyat, bukan jadi menteri besar alat kawalan jauh.

"Tidak perlulah sampai dibayangi orang lain bila sudah menjadi menteri besar, kerana kita sudah tahu sejarah Azmin macam mana. Lebih elok kalau beliau jadi diri sendiri.

"Asalkan beliau boleh bawa perubahan positif kepada rakyat, itu lebih baik.

"Jokowi kita sudah sedia maklum, sebelum dia jadi presiden pun memang sifatnya lebih kepada marhaen. Saya maksudkan dia rendah diri dan lebih suka bersama rakyat, bukan bila dilantik menjadi menteri besar baru mahu tiru Jokowi," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Kelmarin, Azmin menyatakan keinginannya menjadikan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) sebagai contoh dalam pentadbirannya kerana merasakan beliau adalah pemimpin berjiwa rakyat.

Menurut Azmin, dalam tempoh sebulan menjadi menteri besar, beliau dan pimpinan kerajaan negeri sudah menerjah empat daerah sehingga digelar 'Jokowi Malaysia'.

Dalam pada itu, Penganalisis Politik, Prof Dr Azmi Hassan pula berkata, usaha Azmin yang mahu mencontohi pentadbiran Jokowi perlu dipuji kerana hasrat menteri besar itu yang mengutamakan rakyat.

"Baguslah kalau beliau mahu jadi seperti Jokowi, tetapi perlu buktikan tidak ada tangan luar yang mencampuri urusan pentadbiran.

"Memang Jokowi merupakan Presiden Indonesia tetapi beliau bukan presiden dalam partinya dan setiap keputusan yang dibuat adalah dari diri beliau sendiri. Keputusan beliau tidak pernah dipengaruhi presiden parti.

"Situasi ini juga yang kita mahukan dalam pentadbiran Azmin. Setiap keputusan mesti dari tangan beliau, bukan pengaruh dari sesiapa, jangan sampai ada 'remote control, itu kita tidak mahu," katanya.