Lim Kit Siang - Foto Sinar Harian oleh SAFWAN MANSOR 
  •  Lim Kit Siang - Foto Sinar Harian oleh SAFWAN MANSOR
SHAH ALAM - Malaysia mungkin akan dilihat jauh ketinggalan berbanding Indonesia dalam perang terhadap rasuah berdasarkan perbezaan usaha yang dilakukan kedua-dua negara bagi menangani masalah itu.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, perkembangan sepanjang sebulan lalu terus membuktikan perbezaan ketara antara usaha membanteras rasuah di Malaysia dan Indonesia, terutama jika dilihat melalui laporan media.

"Contohnya, antara berita antirasuah paling besar di Malaysia bulan lalu adalah 'Lapan pegawai berdepan 28 dakwaan baharu dalam kes rasuah kastam'.

"Tetapi ini remeh jika dibandingkan dengan laporan di Indonesia seminggu sebelum ini, 'bekas pemimpin parti pemerintah Indonesia dihukum penjara lapan tahun kerana rasuah, penggubalan wang haram'," katanya dalam kenyataan melalui blog beliau, semalam.

Menurut Kit Siang, laporan media Indonesia juga melaporkan Presiden Joko Widodo akan menggantikan lapan calon menterinya berdasarkan cadangan Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah Indonesia atau Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK) kerana mereka berisiko tinggi dinamakan suspek rasuah.

Kit Siang berkata sebaliknya di Malaysia, rakyat dihidangkan dengan laporan seperti "Malaysia antara negara paling korup, menurut tinjauan' dan 'Tiada rancangan untuk meningkatkan undang-undang bagi menyiasat penjawat awam hidup mewah'.

"Bolehkah Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) atau pun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan mengapa Malaysia jauh ketinggalan berbanding Indonesia dalam usaha dan keputusan pembanterasan rasuah, dengan tiada satu pun 'jerung besar' ditahan di Malaysia setakat ini sama ada di bawah (pemerintahan Najib) atau dua Perdana Menteri sebelum ini, meliputi 33 tahun sejak 1981 sedangkan penangkapan, pendakwaan dan hukuman ke atas jerung besar sudah menjadi sesuatu yang biasa di Indonesia?," soalnya.

Menurutnya, perbezaan usaha membanteras rasuah di Malaysia dan Indonesia direkodkan setiap tahun oleh Indeks Persepsi Rasuah (CPI) terbitan Transparency International (TI) sejak 1995.