Wednesday, October 29, 2014

Chubadak: Rumah diroboh, warga emas tidur dalam khemah

HARAKAHDAILY | .
(Makcik Wahida menunjukkan kesan rumahnya yang telah diroboh)
KUALA LUMPUR: Sepasang warga emas di Kampung Chubadak Tambahan terpaksa tidur dalam khemah malam tadi selepas pondok usang yang mereka diami sebelum ini dirobohkan semalam.

Wahida Mat Salleh, 73, dan suami Pak Cik Halim hilang tempat berteduh dan kini hanya tinggal di khemah sementara yang dibina secara gotong-royong oleh aktivis dan penduduk.
(Khemah didirikan penduduk dan aktivis sebagai tempat berteduh kepada pasangan ini)
Kehidupan yang daif, ditambah lagi dengan keadaan kesihatan yang semakin uzur, pasangan ini langsung tidak mendapat pembelaan dari pihak kerajaan.

Bagi pasangan ini, walau apapun terjadi, mereka tidak akan berganjak dari meninggalkan tapak rumah yang telah mereka diami lebih 40 tahun itu.

Semalam, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pemaju berjaya meranapkan tempat berteduh mereka.

Dalam operasi itu, dua aktivis mahasiswa turut ditangkap ketika cuba menghalang rumah pasangan warga emas itu dari dirobohkan.

Mereka adalah Pengerusi Pro-Mahasiswa Nasional Abdul Muqit Muhammad dan Pengerusi Majlis Dakwah dan Kebajikan Gamis Ahmad Fahmi Mokhtar.

Kedua-dua mereka bagaimanapun dibebaskan petang semalam selepas ditahan dan diambil keterangan lebih empat jam di IPD Sentul. - HARAKAHDAILY 29/10/2014
(Menerima kunjungan aktivis di khemah mereka malam tadi)
(Rumah asal yang dirobohkan semalam)

No comments:

Post a Comment