Thursday, October 23, 2014

Ingat kepayahan PAS K'tan untuk bangkit selepas tewas 1978

ASLANI M | .
PENGKALAN CHEPA: Susah, payah, halangan dan rintangan yang dialami ketika PAS berada di posisi pembangkang di Kelantan satu masa dahulu perlu menjadi ingatan bagi mengekalkan kerajaan negeri yang ada sekarang.

Bekas anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Omar Mohamad berkata, tidak mudah untuk bangkit semula setelah gagal mempertahankan kerajaan negeri pada pilihan raya umum (PRU) 1978.

Katanya, PAS Kelantan bangkit semula dengan menyusun strategi baru diketuai Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat selepas dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS negeri.

“Tok Guru ketuai PAS ketika kita masih lagi kalah sehingga menang pada PRU 1990. Kita bangkit dengan segala kesukaran, kepayahan dan kekurangan menghadapi Umno dan BN,” katanya pada ceramah sempena sambutan 24 tahun dasar Membangun Bersama Islam (MBI) di Putik malam tadi.

Hadir sama Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob, anggota-anggota Exco, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof, Pengerusi PKR Kelantan, Abdul Aziz Abdul Kadir, timbalannya, Amran Abdul Ghani dan bekas Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Mohamed Daud Iraqi.

Pada sebelah pagi diadakan pelancaran sambutan ulangtahun di Kelantan Trade Centre. Petang dianjurkan konvoi bermotosikal belia-belia dari beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri ke Putik.

Selepas Maghrib diadakan kuliah interaktif disampaikan Juara Daie Muda Musim ke-2, Nik Ahmad Farhan Nik Muhammad dan solat hajat  diimamkan Ustaz Nik Razi Nik Mat.

Omar yang juga bekas Adun Perupuk berkata, selepas hampir 23 tahun menerajui kerajaan negeri, Tok Guru Nik Abdul Aziz akhirnya berundur dan digantikan Ustaz Ahmad.

“Biar pun Tok Guru tidak lagi berada di barisan utama kepimpinan kerajaan dan parti namun beliau tinggalkan dasar yang cukup jelas bagi memacu jentera pentadbiran kerajaan iaitu Ubudiah, Masuliah dan Itqan.

“Jadi tidak timbul soal kurang atau lebihnya pimpinan yang ada sekarang kerana sudah ada dasar yang jelas bagi memandu kerajaan negeri,” katanya.

Sementara itu Abdul Aziz pula berkata, ada pihak mahu melihat perpaduan yang dibina Pakatan Rakyat sekarang berpecah bagi memastikan Umno dan BN terus selesa menerajui negara.

Katanya, media milik Umno berhempas pulas bagi menghancurkan Pakatan Rakyat dengan mencetus pelbagai isu.

“Hasil permainan licik dan agenda mereka menyebabkan ada segelintir pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat terpengaruh.

“Umno terpaksa melakukan apa sahaja kerana mereka sudah kehilangan majoriti sejak PRU 2008. Oleh itu kita hendaklah bersatu hati bagi memantapkan kembali Pakatan Rakyat,” ujarnya yang juga bekas anggota parlimen Ketereh.

Dalam pada itu, Menteri Besar Ustaz Ahmad berkata, kerajaan negeri dan PAS Kelantan akan menganjurkan sambutan Jubli Perak dasar MBI tahun hadapan apabila genap 25 tahun pemerintahan PAS dan Pakatan di Kelantan.

Katanya, acara sambutan tersebut akan diadakan lebih besar  dengan mencetus idea-idea baru sebagai persediaan awal menghadapi PRU ke-14.

“Apa yang  penting kita perlu lebih berdisiplin dan jujur kepada rakyat bagi terus mempertahankan kerajaan negeri pada pilihan raya umum akan datang,”  ujarnya.

Sempena program tersebut kerajaan negeri dan PAS Kelantan menganugerahkan sijil dan medal kepada beberapa tokoh yang berjasa dan istimewa.

Tokoh Belia dianugerah kepada Dr Hazirah Izati Mat Hashim. Beliau berjaya menamatkan pengajian PhD ketika usia 24 tahun dalam  bidang matematik di UTM.

Tokoh Wanita diberi kepada bekas Ketua  Muslimat PAS Tumpat, Arniwati Sabirin yang berasal dari Bukit Tinggi, Sumatera Barat.

Tokoh Veteran Wanita - bekas anggota jawatankuasa Muslimat PAS Pengkalan Chepa, Fatimah Hassan. Tokoh Veteran Lelaki dianugerah kepada Omar yang jugaYang Dipertua PAS Bachok.

Manakala Ustaz Mohamed Daud dianugerah Tokoh Ulama Kelantan. Kesemua hadiah dan sijil disampaikan Menteri Besar. - HARAKAHDAILY 22/10/2014

No comments:

Post a Comment