Khairy Jamaluddin  
  • Khairy Jamaluddin
KUALA PILAH –  Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menyifatkan kenyataan perwakilan parti Gerakan Johor, Tan Lai Soon yang menganggap orang Melayu juga pendatang di negara ini sebagai perbuatan kurang ajar.
Menurut Khairy, walaupun Lai Soon sudah  minta maaf,  permohonan maafnya tidak dibuat secara ikhlas.

"Dia buat kenyataan dengan tidak memahami sejarah, tidak hormati Perlembagaan Negara, dan ini kenyataan provokasi. Saya amat kecewa kerana kenyataan seperti itu datang daripada perwakilan Gerakan yang duduk di bawah BN. Seharusnya (Lai Soon) lebih berhati-hati ketika buat kenyataan. Jangan guris hati orang Melayu," tegasnya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penutup Latihan Kem Tahunan Kolaboratif Siri 1/2014 Askar Wataniah dekat Felda Kepis, semalam. .

Khairy berharap Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong segera menyatakan pendirian Gerakan sama ada kenyataan Lai Soon itu pendirian parti atau peribadi.

“Sekiranya ia adalah pendirian peribadi, saya tidak berpuas hati dengan cara permohonan maaf dan mahu mengetahui apa tindakan Presiden terhadap individu berkenaan.

“Saya juga harap Gerakan berikan fokus kepada isu sebenar iaitu cara untuk memulihkan parti, bukan cari pasal dengan orang Melayu.

Sekiranya ini cara untuk memenangi undi Cina, dia keluarkan kenyataan provokasi terhadap orang Melayu,  sesiapa pun boleh buat macam ini lagi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan BN sentiasa amalkan semangat setia kawan dan adil kepada semua.

“Apabila kenyataan seperti ini keluar,  ia membangkitkan kemarahan orang Melayu. Kalau itu strategi untuk memenangi undi Cina, saya rasa ia satu strategi yang tidak betul. Jika hendak menang ada caranya dan perlu menang dengan cara yang baik,  bukan buat kenyataan provokasi seperti itu,” katanya.

Dalam ucapannya ketika Mesyuarat Agung Tahunan  Gerakan kelmarin, Lai Soon mengingatkan pemimpin Umno untuk tidak menggunakan kenyataan “pendatang” kepada bangsa lain dan memberitahu orang Melayu juga sebenarnya pendatang di negara ini.