Nik Abdul Aziz Nik Mat 
  •  Nik Abdul Aziz Nik Mat
KOTA BHARU - Pas tidak pernah menghalang ahli yang ingin keluar dari parti itu melah menyerahkan keputusan tersebut kepada pihak terlibat atas dasar menghormati pendirian mereka.
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, bagaimanapun jika tindakan (keluar parti) itu disebabkan tidak berpuas hati dengan isu-isu tertentu, ia bukanlah suatu yang wajar kerana mereka sepatutnya memperbaiki bukannya meninggalkan parti.

“Apa boleh buat jika itu pilihan Tamrin,” katanya dipetik Harakahdaily.net., kelmarin.

Nik Aziz mengulas tindakan bekas Ahli Parlimen Batu Berendam, Mohd Tamrin Tun Ghafar yang mengesahkan keluar daripada Pas, baru-baru ini.

Beliau yang menyertai Pas dua tahun lalu menyerahkan surat tarik diri bertarikh 15 Oktober dan ditandatangani 9.10 pagi sebelum diserahkan kepada Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali di ibu pejabat parti itu di Jalan Raja Laut.

Nik Aziz yang juga bekas Menteri Besar berkata, Pas merupakan parti yang memperjuangkan Islam dan sepatutnya ia dijadikan medan kepada umat Islam untuk berbakti kepada agamanya.

“Saya kenal dia (Tamrin) sewaktu dia membawa ayahnya (Allahyarham Tun Gafar Baba) berjumpa saya sebanyak dua kali, ketika arwah masih hidup.

“Tun ketika itu berkerusi roda dan ditolak Tamrin. Datangnya semata-mata datang dan tidak bercakap kerana mungkin beliau tidak mampu lagi untuk bercakap,” katanya.