Friday, October 17, 2014

'Pemimpin baik tak kempen perkara merosakkan'

17 Oct 2014
Pemimpin yang baik tanpa mengira latar belakang agamanya akan menjauhi kempen ke arah perkara yang merosakkan dan merbahaya kepada rakyatnya, kata bekas mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin.

Menulis dalam laman sosial Facebooknya, tokoh akademik itu mengambil contoh arak dan rokok sebagai dua perkara merosakkan tersebut.

"Pemimpin yang baik tidak akan berkempen kepada kerosakan. Sekalipun jika dia merokok, dia tidak akan kempen kepada rokok, sebaliknya kejujuran akan mendesaknya memberitahu atau mengakui bahaya rokok kepada rakyatnya.

"Inilah sikap pemimpin yang jujur tanpa mengira latar agama dan budaya. Arak adalah sesuatu yang merosakkan. Ia diakui oleh semua pihak," kata Dr Mohd Asri.

Tanpa merujuk kepada mana-mana pihak, Dr Mohd Asri kedengaran berang dengan "pemimpin politik negara yang berkempen kepada arak".

"Kerajaan UK terpaksa berbelanja jutaan pound saban waktu untuk menangani kesan arak terhadap rakyatnya terutama pada malam-malam cuti.

"Bagaimana mungkin ada pemimpin politik dalam negara ini berkempen kepada pesta arak? Atas budaya dan logik kebaikan untuk rakyat?" tulis Dr Mohd Asri.

Demokrasi tanpa faham tujuan

Kenyataan tersebut dipercayai merujuk sekumpulan pemimpin Pakatan Rakyat yang dilapor menghadiri pesta arak Oktoberfest di ibu kota baru-baru ini.

Sebelum itu, Dewan Ulama PAS membantah sekeras-kerasnya penganjuran pesta itu dan mengambil tindakan kepada pihak penganjur.

Menurut Asri, pemimpin politik perlu faham bahawa ruang demokrasi tidak perlu disalahguna untuk perkara yang merosakkan.

"Walaupun Islam akur hak bukan Muslim untuk meminum arak, tapi berkempen terbuka kepada pesta arak yang merosakkan tidak dapat diterima oleh Islam dan mana-mana akal yang rasional.

"Jika ada pemimpin politik berkempen untuk arak atas dasar demokrasi ternyata dia hanya memperkatakan tentang demokrasi tanpa memahami apakah tujuan manusia memilih demokrasi.

"Demokrasi untuk kehidupan yang lebih baik bukan sekadar memuaskan kehendak sesuatu pihak tanpa mengira baik dan buruk," tegasnya.
Malaysiakini

No comments:

Post a Comment