Tuesday, October 21, 2014

Rasuah: Kenapa tak mahu laksana IPCMC?

SALMIYAH HARUN | .
KUALA LUMPUR: Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) digesa memberi penegasan bahawa Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) wajar diterima pakai dan dijadikan mekanisma terbaik bagi meningkatkan integriti Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata, IPCMC yang pernah dicadangkan pada tahun 2005 lalu merupakan suruhanjaya yang terbaik bagi menambah baik imej polis daripada pelbagai sudut termasuk rasuah.

"IPCMC satu mekanisma terbaik bukan sahaja buang persepsi negatif umum pada polis sekali gus meningkatkan imej dan integriti polis," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau menambah, cadangan penubuhan IPCMC itu adalah lahir dalam sesi perundangan umum yang pernah diwujudkan atas nama penambahbaikan polis.

"Cadangan ini bukan lahir daripada pandangan serpihan, ianya lahir daripada mereka yang arif seperti  .Akhirnya lahirlah IPCMC,"katanya.

Sebelum itu, PPPR sedang mencari pendekatan terbaik bagi mengikis pandangan negatif terhadap PDRM ini berikutan wujud tanggapan tidak sihat yang mengaitkan PDRM  dengan rasuah.

Sejak cadangan penubuhan IPCMC diikemukakan oleh salah seorang panel iaitu bekas Pengerusi Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah, bagaimanapun sehingga kini kerajaan memberi pelbagai alasan untuk melengah-legahkan penubuhan IPCMC.

Laporan 2005 yang dikemukakan oleh Mohamed Dzaiddin menjelaskan tujuan IPCMC hendaklah menjalankan pengawasan PDRM dan dalam hal ini melaksanakan fungsi-fungsi utama seperti menerima dan menyiasat aduan mengenai PDRM dan anggotanya, mencegah, mengesan dan menyiasat rasuah dan salah laku serius dalam PDRM serta mencadangkan langkah-langkah kepada Menteri Keselamatan Dalam Negeri bagi meningkatkan integriti polis, mengurangkan salah laku dan membina keyakinan orang awam terhadap PDRM.

Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zaid Hamidi menegaskan bahawa cadangan penubuhan IPCMC akan mengakibatkan 'pertindihan bidang kuasa dan undang-undang dalam kalangan agensi penguatkuasa' dan tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan serta bertentangan dengan konsep keadilan. - HARAKAHDAILY 21/10/2014

No comments:

Post a Comment