Tuesday, October 21, 2014

Bajet 2015: K'jaan masih bersikap 'beri ikan bukan pancing'

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Imbuhan yang diberikan oleh kerajaan dalam pembentangan Bajet 2015 di Parlimen baru-baru ini boleh disifatkan sebagai memberi 'ikan' dan bukan 'pancing' yang dilihat tidak mampu menyelesaikan masalah rakyat untuk jangka masa panjang.

Pengarah Isntitut Kajian Polisi Pemuda PAS Malaysia Syahir Sulaiman berkata, beberapa imbuhan antaranya pemberian BR1M RM950 dan baucar buku RM250, walaupun baik, namun mekanisma pemberian tunai sebegini adalah tidak mampan.

Beliau berkata demikian dalam Wacana Ilmiah yang bertajuk Bajet 2015: Perspektif dan Alternatif Islam yang dianjurkan oleh Majlis Penyelidikan & Tafaqquh (MPT), Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) baru-baru ini.

Beliau menjangkakan inflasi juga akan terus meningkat pada kadar 4 ke 5 peratus bagi tahun 2015 berbanding 3 ke 4 peratus pada tahun 2014.

Fenomena kenaikan harga barangan ini katanya adalah kesan daripada langkah rasionalisasi subsidi dan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) oleh pihak kerajaan yang akan menambahkan lagi bebanan rakyat.

Katanya, bajet 2015 memperlihatkan tiada mekanisma baru diambil oleh kerajaan bagi meningkatkan tahap disiplin fiskal dan mengawal perbelanjaan secara efektif.

Malah, katanya ianya terus menimbulkan kebimbangan terhadap aspek pelaksanaan yang lemah sebagaimana dibangkitkan dalam Laporan Audit setiap tahun, di samping permohonan bajet tambahan yang akan dikemukakan pada separuh pertama setiap tahun.

Untuk tahun 2015, beliau menyatakan bahawa kerajaan Persekutuan mengunjurkan pendapatan sekitar RM235 bilion dengan anggaran perbelanjaan sekitar RM274 bilion.

Kerajaan ujarnya dijangka akan menanggung defisit sekitar RM36 bilion (3.0% kepada KDNK) dan situasi ini telah berlarutan sejak tahun 1998 (tahun ke-18), mengakibatkan kerajaan terpaksa bergantung kepada hutang.

"Pihak kerajaan menyedari bahawa paras hutang persekutuan telah menghampiri paras siling 55 peratus kepada KDNK dan tiada pilihan selain mengurangkan perbelanjaan (merasionalisasi subsidi) dan mencari sumber pendapatan baru (melaksanakan GST)."

"Melihat kepada corak belanjawan ini, khususnya dalam pemberian BR1M, pengurangan subsidi, dan pelaksanaan GST, dapat disimpulkan bahawa kerajaan terpaksa mengambil tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun bagi mengurus persepsi di kalangan rakyat yang terbeban dengan pelaksanaan GST dan rasionalisasi subsidi, demi mempertahankan survival politik dalam PRU ke-14 nanti," katanya. - HARAKAHDAILY 21/10/2014

No comments:

Post a Comment