Saturday, November 29, 2014

Anti-keganasan: Patuhi hak asasi manusia antarabangsa

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menyokong inisiatif yang diambil dan berikrar sokongan berterusan kepada kerajaan dalam usaha untuk memerangi keganasan dan ekstremisme, termasuk ancaman yang ditimbulkan oleh Negara Islam.

Pengerusinya, Tan Sri Hasmy Agam berkata, Suhakam mengambil perhatian bahawa Parlimen telah meluluskan Kertas Putih untuk menangani ancaman Negara Islam yang disampaikan oleh Perdana Menteri Malaysia, termasuklah cadangan undang-undang anti-keganasan dan pindaan kepada undang-undang sedia ada dalam memerangi keganasan.

Katanya, Suhakam berpandangan bahawa pindaan itu hendaklah bertujuan untuk mencegah tindakan radikal, mengukuhkan langkah-langkah pencegahan keganasan dan penyiasatan yang sedia ada dan untuk menyediakan kawalan terhadap segala bentuk gangguan aktiviti pengganas.

Suhakam juga, ujarnya ambil maklum bahawa undang-undang dan pindaan tersebut hendaklah berdasarkan sumber yang benar, terutamanya setelah pihak berkuasa Malaysia mengenal pasti 39 militan Malaysia di Syria sehingga kini.

Suhakam juga, kata beliau menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan sebarang pindaan atau undang-undang baharu pada keadaan yang amat penting ketika ini dengan rundingan bermakna dengan pihak berkepentingan yang berkenaan termasuklah pasukan polis dan pihak keselamatan.

Menurut beliau, memandangkan kepentingan yang amat mendesak dan tempoh masa yang singkat, Suhakam mengulangi pendiriannya bahawa sebarang langkah baharu hendaklah disertakan dengan perlindungan yang sesuai terhadap hak asasi manusia.

Tambahnya, Suhakam menyokong kelulusan rang undang-undang anti-keganasan yang dicadangkan, tertakluk kepada cadangan-cadangan yang boleh menangani kebimbangan mengenai kesan rang undang-undang tersebut terhadap hak asasi manusia.

Menurut beliau lagi, walaupun Suhakam mengakui keperluan yang mendesak dalam memastikan agensi-agensi keselamatan negara kita mempunyai kuasa-kuasa tertentu untuk melindungi keselamatan negara, sebarang batasan terhadap hak asasi manusia mestilah diminimakan, jelas, sah dan seimbang.

Beliau menambah, Suhakam juga ingin menyatakan bahawa undang-undang anti-keganasan hanya boleh digunakan atas tujuan tersebut, kerana ia akan memberi kesan bertentangan jika kuasa digunakan dengan tidak betul atau disalahgunakan oleh pihak berkuasa.

"Di samping itu, cadangan peruntukan undang-undang anti-keganasan mestilah ditakrifkan dengan jelas dalam undang-undang Malaysia, dan digubal dalam pematuhan kepada standard hak asasi manusia antarabangsa agar lebih berkesan," ujarnya dalam satu kenyataan.

Justeru, tambah beliau Suhakam berhak untuk memberi pandangan lanjut mengenai cadangan terhadap komponen pindaan atau Rang Undang-undang. - HARAKAHDAILY 28/11/2014

No comments:

Post a Comment