• Felcra
KUALA LUMPUR - Bayaran sagu hati sebanyak RM723,000 kepada ahli lembaga pengarah Felcra sejak 2010 didapati tidak pendapat kelulusan Kementerian Kewangan.
Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, Kementerian Kewangan telah menolak cadangan pemberian sagu hati itu walaupun bayaran telah dibuat dan diluluskan sendiri Lembaga Pengarah Felcra.

"Kementerian Kewangan selaku pemegang saham, dalam satu surat bertarikh 23 Oktober lepas telah meminta pembayaran sagu hati itu dihentikan serta merta.

"Dalam maklum balas Felcra, mereka mendakwa bayaran itu dibuat kerana Felcra telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam perkhidmatan dan oleh itu mereka (Lembaga Pengarah) layak mendapat sagu hati.

"Tapi kami maklumkan kepada mereka, walaupun Lembaga Pengarah sudah meluluskan, tapi ia mesti mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan di peringkat mesyuarat agung tahunan yang mereka tidak buat," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat PAC di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Bagaimanapun, Nur Jazlan berkata PAC tidak berpuas hati dengan penjelasan Felcra dan akan terus menyiasat perkara tersebut bagi mencari penyelesaian dan jawapan.

"Mengikut prosedur, Lembaga Pengarah Felcra harus meminta kelulusan sebelum pembayaran dibuat tapi ini terbalik malah baru sekarang mereka minta kelulusan.

Kita akan terus siasat. Ini melibatkan banyak implikasi antaranya pelanggaran akta syarikat dan konflik kepentingan lembaga pengarah itu sendiri," katanya.