Saturday, November 8, 2014

'Kalau rasuah, tangkap semua orang Umno': Umno Selangor

8 Nov 2014

Umno Selangor berpandangan tulisan Tun Dr Mahathir Mohamad tentang imej rasuah yang dikaitkan dengan Umno memburukkan parti itu.

Setiausaha perhubungan negeri, Datuk Johan Abdul Aziz berkata kenyataan tanpa bukti sedemikian tidak elok kerana datang dari orang parti sendiri.

"Jangan terus lekatkan imej rasuah pada Umno. Kalau betul (Umno) rasuah, tangkaplah semua orang Umno.

"Bagi saya tak kena apabila Tun bercakap tentang rasuah.

"Kalau dia ada buktinya - dia pun bekas perdana menteri - hantarlah kepada pihak berkuasa.

"Saya rasa ini tak beri imej baik pada parti sebab dia (Mahathir) pun orang Umno," kata ADUN Semenyih itu.

Beliau berkata demikian sewaktu mengulas tulisan Mahathir semalam yang menggariskan tiga perkara yang perlu dilakukan Umno Selangor untuk mengembalikan sokongan rakyat.

Mahathir turut mencadangkan agar lebih ramai pemuda ditarik menyertai parti dan agar pemimpin Umno yang kalah dalam pilihan raya umum ke-12 dan ke-13 berundur.

Bercakap lanjut, Johan menegaskan yang Umno Selangor sentiasa mengambil anggota baru parti dari golongan muda.

Minggu lepas sahaja katanya, bahagian Hulu Langat yang diketuai beliau mendaftarkan 700 pengundi baru sebagai anggota baru.

Menurut Johan, kegusaran Mahathir mungkin berpunca daripada kehadiran Menteri Besar Selangor, Azmin Ali yang dilihat sesetengah pihak sebagai "orang muda".

"Tetapi (Azmin) sudah 50 tahun hendak dikata muda pun tak adalah muda sangat.

"Kita tak mahu menggelabah dengan MB baru ini. Segala perancangan Umno negeri telah disusun dan berjalan," katanya.
Malaysiakini

No comments:

Post a Comment