Graf harga minyak mentah dunia menunjukkan penurunan sejak dua bulan lalu. Sumber: Nasdaq  
  • Graf harga minyak mentah dunia menunjukkan penurunan sejak dua bulan lalu. Sumber: Nasdaq
SHAH ALAM – Sekarang merupakan masa yang sesuai untuk kerajaan boleh menurunkan harga petrol dan diesel di negara ini berikutan penurunan harga pasaran minyak mentah dunia.
Penganalisis ekonomi, Prof Dr Shazali Mansor berkata, ini kerana negara dapat membeli minyak dengan lebih murah dan seterusnya menjual mengikut harga pasaran dunia yang lebih rendah kepada pengguna.

“Apabila harga pasaran minyak dunia jatuh, ini juga masa yang tepat untuk kerajaan menurunkan harga minyak. Dulu ketika harga pasaran dunia tinggi, kerajaan terpaksa memberikan subsidi kepada rakyat.

“Tetapi, mulai sekarang kerajaan boleh letakkan harga minyak ikut harga pasaran dunia. Sebab kita beli minyak murah dan sudah tidak timbul isu beri subsidi lagi,” katanya, semalam.

Beliau mengulas gesaan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang mahu kerajaan menyemak semula harga petrol dan diesel di pasaran Malaysia susulan penurun harga minyak mentah dunia ke paras AS$85 (RM281) setong pada awal Oktober.

Kerajaan sebelum ini tidak menolak kemungkinan untuk mengkaji semula harga petrol dan diesel sekiranya berlaku penurunan harga pasaran bahan api dunia.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong bagaimanapun berkata, penjualan harga minyak di pasaran tempatan tidak mengikut harga minyak dunia berikutan subsidi ke atas bahan api itu.

Mengulas lanjut, Shazali berkata, penetapan harga minyak tempatan mengikut harga pasaran dunia juga lebih memudahkan kerajaan memberi penjelasan.

“Dengan cara ini, rakyat tidak boleh salahkan kerajaan kalau harga minyak naik. Ini kerana kita ikut harga pasaran dunia.

“Jadi, rakyat lebih mudah faham situasi ini. Berbanding jika kerajaan naikkan harga ketika harga minyak dunia mengalami penurunan, pasti mereka marah,” katanya.

Bagaimanapun, menurut beliau, kerajaan perlu memantau harga pasaran minyak dunia bagi mengelakkan rakyat terjejas dengan penurunan atau kenaikan yang tidak konsisten.

“Kalau harga turun selama sebulan, kita boleh kata harga minyak dunia dalam keadaan stabil. Tapi jika harga sekejap naik dan sekejap turun, ia akan merugikan pembeli minyak.

“Oleh itu, kerajaan mungkin boleh semak harga pasaran minyak dunia setiap tiga bulan,” katanya.