Muhammad Fakhruddin menerima kucupan tahniah daripada Zanariah setelah mendapat 5A dalam
keputusan UPSR 2014, diumumkan kelmarin. 
  •  Muhammad Fakhruddin menerima kucupan tahniah daripada Zanariah setelah mendapat 5A 
Terpaksa salin daripada rakan
SETIU - Biarpun terpaksa menyalin ilmu diajar oleh guru daripada rakan sekelas kerana mengalami masalah penglihatan serius, namun seorang murid istimewa di daerah ini berjaya membuktikan kekurangan diri bukan penghalang untuknya berjaya.
Muhammad Fakhruddin Abd Razak, 12, dari SK Sungai Lerek adalah salah seorang yang memperoleh keputusan 5A dalam UPSR diumumkan kelmarin.

Menurut ibunya yang juga guru besar sekolah itu, Zanariah Jaafar, Muhammad Fakhruddin mengalami masalah penglihatan serius sejak kecil sehinggakan tidak dapat melihat dengan jelas apa yang ditulis guru di papan hitam walaupun dengan bantuan cermin mata.

“Biarpun di dalam kelas dia duduk di barisan hadapan, tapi dia tetap tak mampu lihat seperti orang lain apa yang ditulis pada papan hitam.

“Keadaan ini menimbulkan kesukaran baginya untuk belajar dengan baik,” katanya.

Malah anak keempat dari tujuh beradik ini juga tidak dapat melihat dengan jelas guru yang berdiri mengajar di hadapan.

Zanariah berkata, kerana masalah penglihatan yang dihadapi, anaknya itu terpaksa menyalin daripada kawannya segala yang ditulis guru di papan hitam dan pastinya ia mengambil masa agak lama.

“Guru pula perlu salin kertas soalan dengan menggunakan huruf yang lebih besar. Memang diakui masalah penglihatan dihadapinya membuatkan dia sukar belajar serta menuntut ilmu, tapi anak saya ini seorang yang kuat semangat dan gigih,” katanya.

Katanya, kesusahan Muhammad Fakhruddin belajar selama ini berbaloi apabila dia memperoleh keputusan cemerlang.