Abdul Mumbi (kiri) menunjukkan patung Buddha yang ditemui kali pertama di hadapan pintu masuk masjid. 
  •  Abdul Mumbi (kiri) menunjukkan patung Buddha yang ditemui kali pertama di hadapan pintu masuk masjid.
(SH)LANCHANG – Jemaah Masjid Kampung Bolok di sini dikejutkan dengan kejadian penemuan patung dipercayai untuk upacara sembahyang penganut Buddha yang diletakkan di masjid kampung itu selama tiga hari berturut-turut sejak Sabtu lalu.
Kejadian pertama pada Sabtu lalu apabila siak masjid yang menjumpai patung itu di pintu masuk masjid lalu membuang patung itu tanpa mengesyaki sesuatu.

Kejadian kedua berlaku pada Ahad lalu apabila ia ditemui jemaah ketika solat Subuh seterusnya menimbulkan syak dan perkara itu dilaporkan kepada polis dan ketika siasatan sedang dijalankan polis, patung ketiga ditemui seorang imam selepas solat Asar pada Isnin.

Imam 3 Masjid Kampung Bolok, Abdul Mumbi Dollah berkata, dia yang menemui patung berkaitan agama Buddha itu selepas solat Asar, Isnin lalu mengesyaki patung itu dihantar oleh individu yang menaiki kenderaan mewah berwarna putih.

“Ketika saya sampai di masjid untuk solat Asar, saya lihat ada sebuah kereta mewah warna putih bercermin gelap diletakkan di luar pagar dalam keadaan enjin masih hidup.

“Saya tidak mengesyaki apa-apa pun tapi selesai solat saya lihat ada patung berkaitan Buddha yang lebih besar dengan tinggi kira-kira 0.3 meter diletakkan di pintu pagar masjid, penemuan ketiga ini sangat mengejutkan kerana perkara ini sudah dilaporkan kepada polis dan Pejabat Agama Islam daerah,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bolok Hulu/Sokmik Mohamed Jantan berkata, penduduk kampung telah mengambil gambar bukti penemuan patung itu dan membuat laporan polis serta laporan kepada pejabat agama.

“Saya berharap kepada pihak berwajib supaya membuat siasatan segera kerana tidak mahu perkara ini berlaku di masjid-masjid lain hingga boleh mengganggu ketenteraman awam,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-tugas Khas negeri Pahang, Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, kerajaan negeri berasa amat dukacita dengan perkara tersebut.

“Saya akan arah Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) menyiasat perkara ini dan pada masa sama menasihati penduduk membuat laporan polis dan laporan kepada Jaip dengan bukti bergambar,” katanya.

Syed Ibrahim berkata, penduduk diminta bertenang dan tidak melatah dengan perkara ini.

“Mereka perlu mengimarahkan masjid seperti biasa dan pada masa sama mereka akhirnya dapat menjaga keselamatan masjid ini.

“Masjid tetap masjid, ia tidak tercemar dengan perbuatan ini tetapi yang melakukan perbuatan itu yang tercemar akal fikirannya,” katanya.

Sementara itu Naib Pengerusi Persatuan Budhist Mentakab, Lim Jit Hun yakin penganut agama Buddha tidak melakukan perbuatan itu.

“Saya yakin ia adalah sabotaj dilakukan pihak tertentu yang berniat jahat, penganut Buddha hormat pada agama lain dan saya yakin ia bukan dilakukan penganut agama Buddha,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Anuar Othman mengesahkan kejadian dan pihaknya sedang menyiasat perkara tersebut.

Menurutnya, anggota polis telah diarahkan untuk meningkatkan kawalan di sekitar kampung tersebut.

“Polis menerima dua laporan mengenai tiga kejadian tersebut di balai polis Lanchang dan akan meningkatkan kawalan di kampung tersebut,” katanya.