Wednesday, November 26, 2014

55,578 penerbangan guna 'airport' Sultan Ismail Petra

ASLANI M | .
KOTA BHARU: Sudah sampai masanya Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Pengkalan Chepa dinaik taraf sebagai lapangan terbang antarabangsa memandangkan kesibukan trafiknya sekarang.

Ini dapat dibuktikan statistik pergerakan kapalterbang di lapangan terbang tersebut pada 2013 iaitu sebanyak 55,578 penerbangan.

Jumlah penerbangan tersebut termasuk MAS sebanyak 3,325 penerbangan setahun, Firefly (6,760) dan AirAsia (5,679).

Perangkaan itu dikeluarkan Department of Civil Aviation Malaysia (DCA) bagi kapalterbang yang menggunakan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Pengkalan Chepa.

Manakala jumlah penumpang pada 2012 sebanyak 1.4 juta orang setahun berbanding 800,000 orang pada 2005.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat, Datuk Hanifa Ahmad berkata, jumlah penerbangan dan bilangan penumpang kurang sikit berbanding Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

“Jadi sudah sampai masanya Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kewangan meluluskan untuk menaik taraf airport di Kota Bharu.

“Ini memandangkan kedudukan Kota Bharu lebih dekat dengan ibu-ibu negara Asean,” katanya di sini.

Kata beliau juga berdasar perkembangan tersebut sepatutnya kerajaan pusat memberi pertimbangan sewajarnya.

Menurutnya cadangan untuk membesarkan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra telah dikemukakan kepada kerajaan pusat.

“Pada pertemuan Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada akhir 2013 cadangan menaik taraf airport diajukan.

“Kerajaan negeri juga telah mengangkat kertas cadangan mewujudkan International Airport melalui UPEN, di mana kosnya kira-kira RM282 juta,” katanya di sini.

Speksifikasi landasan yang ada sekarang ialah 2,200 meter panjang dan lebar 45 meter. Kerajaan negeri memohon landasan dipanjangkan sehingga 3,600 meter panjang dan lebar 60 meter.

Hanifa berkata, konsentrasi penerbangan ialah di negara-negara Asean termasuk ke China, Bangkok, Jepun, Manila, Jakarta, Bangkok manakala ke Timur Tengah pula penerbangan jemaah haji ke Makkah.

Menurut beliau tanah bagi membolehkan pembesaran dilakukan sudah lama disediakan selepas pengambilan semula dibuat kerajaan negeri.

Selain itu katanya AirAsia juga bercadang mewujud hub penerbangan di Pengkalan Chepa membabitkan kawasan seluas lima ekar.

“Oleh itu kita harap kerajaan Malaysia lebih serius bagi mempertimbangkan pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra,” katanya.

Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra juga kini digunakan tujuh syarikat sekarang iaitu MAS, AirAsia, Firefly, Malindo Air, Westar, Asia Pacific Fligt Training dan Royal Malaysia Air Force (RMAF). - HARAKAHDAILY 26/11/2014

No comments:

Post a Comment