Wednesday, November 26, 2014

Kerajaan BN kena tiru PR Selangor

Jimmy Puah 
  •  Jimmy Puah
SENAI – Kerajaan BN negeri ini disarankan supaya mencontohi tindakan kerajaan PR Selangor yang tidak menganaktirikan pemimpin dari pakatan pembangkang apabila memperuntukkan sejumlah peruntukan untuk program pembangunan di kawasan mereka.
 
Ini susulan, Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali mengumumkan peruntukkan sebanyak RM200,000 setahun untuk program pembangunan diberikan kepada kesemua 13 wakil rakyat pembangkang dan bebas menerusi Bajet Selangor 2015, kelmarin.
 
Adun Bukit Batu yang juga Ketua Biro Guaman PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata,  selain itu, kerajaan negeri Pulau Pinang turut memperuntukan RM40,000 kepada wakil rakyat pembangkang di negeri itu untuk projek berskala kecil di kawasan pegangan pembangkang.
 
“Kita berharap agar  kerajaan negeri Johor dibawah pentadbiran Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin boleh mengikuti contoh yang telah dimulakan oleh kedua-dua buah kerajaan di bawah pentadbiran PR dan juga memberi peruntukan yang sewajarnya kepada wakil rakyat pembangkang di Johor.
 
“Buat masa kini, kerajaan negeri Johor tidak memberi sebarang peruntukkan kepada wakil rakyat pembangkang dan kesemua wakil rakyat tersebut dikehendaki membuat permohonan terus kepada pejabat Menteri Besar untuk peruntukkan khusus.
 
“Namun, dukacita, dimaklumkan setakat hari ini kesemua permohonan saya tidak pernah sekalipun dijawab oleh pejabat Menteri Besar Johor,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.
 
Jimmy berkata, tindakan kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang adalah adil dan memberi makna sebenar kepada prinsip demokrasi yang mana kerajaan patut menghormati pemilihan yang dibuat oleh pengundi dan tidak memprejudiskan hak mereka semata-mata kerana mereka memilih pihak yang tidak menubuhkan kerajaan.
 
“Setiap anak Johor patut diberi layanan yang sama dan wajar menikmati manfaat hasil pembangunan Johor tidak kira samada mereka tinggal di bawah kawasan BN atau PR kerana rakyat yang tinggal di bawah kawasan pembangkang tidak patut dianaktirikan oleh kerajaan.
 
“Slogan kerajaan iaitu Muafakat Johor tidak bermakna sekiranya rakyat Johor tidak dilayan secara adil dan saksama,” katanya.
 
Beliau mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri Selangor yang mengiktiraf jawatan ketua pembangkang di Selangor yang mana kini Ketua Pembangkang di Selangor akan dibekalkan dengan kereta rasmi kerajaan.
 
“Ini menunjukkan bahawa kerajaan PR Selangor memahami di bawah sistem parlimen Westminister, pembangkang juga ada memainkan satu peranan yang penting dalam sistem kerajaan.
 
“Sekali lagi, PKR Johor menggesa kerajaan Johor untuk mengikuti langkah yang dimulakan oleh kerajaan negeri Selangor dan memberi pengiktirafan rasmi kepada jawatan Ketua Pembangkang Johor,” katanya.

No comments:

Post a Comment