SAYA merujuk kepada berita yang disiarkan oleh New
York Times (NYT) 19 November 2014 lalu yang secara khusus membincangkan
perihal kepincangan yang berlaku dalam pengurusan kerajaan Negeri
Terengganu dalam hal melombong bijih besi di Bukit Besi Terengganu yang
telah diberikan hak kepada syarikat yang berasal dari China dan
berpangkalan di Pahang CAA Resources.
Dalam laporan oleh Keith Bradsher itu, beliau menyentuh berkenaan isu
industri ini bakal dipenuhi dengan pekerja warga asing, cara mengelak
dari dikenakan pemeriksaan kesan ke atas alam sekitar dan dakwaan
pembelian gelaran 'Datuk' bagi memudahkan dia mendapatkan sumber asli
negeri Terengganu melalui orang politik dan istana.
Saya menggesa agar dilakukan siasatan segera ke atas mereka yang terlibat dengan kelulusan perlombongan ini.
Ketika siasatan berjalan, kerajaan juga perlu 'merehatkan' sementara orang yang disiasat agar tidak mengganggu siasatan.
Dakwaan ini sekiranya benar, maka ternyata hak rakyat dicabul dengan
sebegitu rakus oleh golongan-golongan yang jahat dan busuk hati.
Sepatutnya hak rakyat Terengganu mendapat pekerjaan di sana dalam
peratusan yang besar, wajib dijadikan syarat utama dalam pemberian
kontrak ini kerana ianya adalah hasil negeri Terengganu.
Begitu juga dengan kesan kepada alam sekitar yang kita sedia maklum
iaitu sebelum perlombongan ini dimulakan, balak-balak sudahpun ditebang.
Hal alam sekitar ini juga mesti menjadi syarat utama pemberian hak
kepada perlombongan ini.
Jika tanah yang kurang dari 500 ekar yang sengaja dibahagi dua, maka
ia secara keseluruhannya menjadi 1,000 ekar yang mana wajib dia mendapat
kelulusan alam sekitar.
Ini menunjukkan mereka dengan mudahnya memperlecehkan undang-undang kita.
Yang terakhir, institusi istana sekali lagi cuba dicabuli oleh kumpulan yang tidak bertanggungjawab bagi mencari keuntungan.
Dakwaan pembelian sebanyak USD100,000 bagi mendapat gelaran Datuk
adalah kisah yang sangat jelas ingin mencemarkan nama baik istana.
Saya mendesak SPRM mengadakan sisatan menyeluruh bagi membersihkan
nama baik istana dari fitnah-fitnah yang dilemparkan. Ataupun sekiranya
ianya benar-benar berlaku penjualan gelaran Datuk ini, maka SPRM perlu
menangkap petualang-petualang tersebut tanpa memilih pangkat bagi kita
menyelamatkan maruah institusi istana kita.
Oleh itu jika semua dakwaan NYT ini adalah benar, maka saya menyeru
kepada rakyat Terengganu agar menyedari bahawa ada makhluk-makhluk
bernafsu rakus sedang melahap sumber kekayaan negeri Terengganu dengan
jalan yang salah.
Bukit Besi ini hasilnya dahulu kekayaannya diambil oleh tentera
Jepun, kemudiannya British pula membolotnya, hasil dari kelemahan kita
berfikir. Tetapi adakah sekarang kita ingin menyerahkan pula hasilnya
kepada negara China? Apatah lagi dengan cara yang salah?
Jika ini terjadi, ternyata kerajaan BN Terengganu sekarang ini
tersangat dungu kerana terbaru sebelum ini, Terengganu telah dirampas
hak royaltinya hasil dari pengkhianatan Umno Terengganu, kemudian
dikatakan Terengganu tidak memiliki hasil petroleum oleh kumpulan mereka
sendiri, menjadikan rakyat Terengganu kedua termiskin sejak sekian lama
dan pimpinan tertinggi kerajaan Terengganu hanya diam seribu bahasa.
Justeru rakyat perlu berperanan agar kerajaan yang bisu ini perlu diajar. - HARAKAHDAILY 22/11/2014
Ketua Penerangan PAS Terengganu yang juga Adun Bukit Payong.
No comments:
Post a Comment