KUALA LUMPUR:
Di sebalik Akta Hasutan 1948 dikekalkan, Perhimpunan Agung Umno bergema
dengan ucapan perwakilan yang terus menyentuh isu-isu kaum dengan
menyerang pihak lain yang dianggap cuba mengancam dan menggugat mereka.
Tanpa menyedari bahawa Dewan Merdeka bukanlah parlimen ataupun Dewan
Undangan Negeri yang memberikan kekebalan untuk bercakap apa saja, ramai
jurucakap dalam perhimpunan itu seakan terlupa hakikat itu, tulis
Shahbudin Husin dalam blognya.
Menurutnya, banyak nada rasis, perkauman, serangan dan sentuhan
hal-hal sensitif melibatkan kaum lain dapat didengar dalam perhimpunan
kali ini.
"Sebagai meraikan kejayaan mengekalkan Akta Hasutan, lebih ramai yang
tampil mahu menjadi juara bangsa pada perhimpunan kali ini kerana
menganggapnya suatu kejayaan bagi mereka," tulisnya.
Justeru, bagi beliau untuk membuktikan bahawa Akta Hasutan dikekalkan
tidak semata-mata untuk kepentingan dirinya atau Umno, sesuatu yang
harus Presiden Umno, Datuk Seri Najib buktikan ialah berani mengenakan
dakwaan di bawah akta tersebut ke atas mana-mana perwakilan yang berucap
pada kali ini yang didapati melampau dari segi menyentuh isu berkaitan
kaum, bangsa atau agama lain.
"Jurucakap-jurucakap ini hakikatnya tidak kebal sama-sekali seperti
mana wakil-rakyat di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri bercakap dan
berhujah," ujarnya.
Beliau berpandangan, oleh kerana Dewan Merdeka PWTC bukanlah parlimen
ataupun Dewan Undangan Negeri yang mempunyai kekebalan dan melindungi
sesiapa daripada bercakap apa saja, Najib tidak harus 'double standard'
kerana akta itu seharusnya dilaksanakan secara adil dan menyeluruh.
Menurutnya lagi, jika ini dapat dilakukan Najib sebaik berakhirnya
Perhimpunan Agung Umno, beliau mungkin dapat meraih sedikit kepercayaan
daripada rakyat yang selama ini ragu-ragu dengan tujuan dan
keikhlasannya mengekalkan Akta Hasutan itu. - HARAKAHDAILY 29/11/2014
No comments:
Post a Comment