Sunday, November 9, 2014

UM8: S'gor sedia tawar tempat sambung belajar

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor bersedia menyediakan tempat bagi lapan pelajar Universiti Malaya (UM8), jika mereka dikenakan hukuman berat.

Exco Pendidikan, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata , kerajaan negeri akan memastikan kesemua mereka diberi peluang menyambung pelajaran mereka sama ada di Universiti Selangor (UNISEL) atau Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).

Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) Fahmi Zainol dan tujuh lagi rakannya menghadapi tindakan tatatertib kerana menganjurkan Pidato untuk  Datuk Seri Anwar Ibrahim di dalam universiti itu dua minggu lalu.

Mengulas lanjut, nik Nazmi berkata, Universiti Malaya selaku salah satu institusi pengajian tinggi dihormati perlu melihat teliti  kesan jika universiti membuat keputusan menggantung atau membuang pelajar itu.

“Ini bukan sahaja memburukkan pentadbiran universiti tetapi imej universiti secara keseluruhan akan terjejas.

”Ia kerana mereka dilihat menguatkuasakan peraturan ketat yang menghindarkan perkembangan minda daripada menggalakkan pelajar berfikir dan bertindak kritis,” katanya.

Sementara itu, prosiding perbicaraan tatatertib terhadap lapan pelajar Universiti Malaya terbabit yang mula berlangsung semalam, ditangguhkan ke 18 November. - HARAKAHDAILY 8/11/2014

No comments:

Post a Comment