Tuesday, December 2, 2014

14 kertas siasatan fitnah di laman sosial

1 Dec 2014
Persidangan Dewan Negara hari ini diberitahu bahawa polis membuka 14 kertas siasatan berkaitan kesalahan penyebaran fitnah di laman sosial dan siber, pada tahun ini. 
 
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata daripada jumlah itu lima kes masih dalam siasatan dan dua kes telah didakwa di mahkamah.
 
"Bagi kes yang dituduh di mahkamah, satu kes masih dalam perbicaraan dengan diberi jamin RM4,000 dan satu kes telah dijatuhkan hukuman denda RM10,500 pada 20 November 2014," katanya menjawab soalan Senator Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam di ibunegara.
 
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Senator Datuk Adam Abdul Hamid mengenai keselamatan di perairan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone), Wan Junaidi berkata kerajaan memberi jaminan bahawa kawasan itu selamat.  
 
Bagaimanapun, katanya, kerajaan akan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga seperti membekalkan peralatan canggih kepada anggota-anggota keselamatan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
 
Menjawab soalan asal Datuk Chin Su Phin, Wan Junaidi berkata 10,969 rakyat Sabah berkhidmat dengan pasukan polis sehingga Oktober lepas.
 
Daripada jumlah itu, 826 orang merupakan pegawai kanan polis, 9,064 pegawai rendah dan 1,079 lagi kakitangan awam, katanya.
 
"PDRM sentiasa mengalu-galukan penyertaan kaum lain untuk menyertai pasukan itu oleh kerana tugas untuk mempertahankan keselamatan negara merupakan tanggungjawab kolektif seluruh rakyat," katanya.
 
- Bernama
 

No comments:

Post a Comment