Saturday, December 20, 2014

Azmin nafi dibayangi Anwar

Sinar Harian
Mohamed Azmin Ali 
  •  Mohamed Azmin Ali
SHAH ALAM - Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali membidas dakwaan menjelang 100 hari pentadbirannya, beliau masih dibayangi Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, peranan Anwar masih lagi penting dalam konteks memberikan pandangan untuk kerajaan negeri serta PR kerana beliau memainkan peranan besar dalam memperkukuh pakatan.

“Saya menghormati Anwar kerana sudah lama bekerja dengan beliau.

“Malah pandangan-pandangannya itu diambil kira dalam parti iaitu PR dan dalam kerajaan negeri sebagai penasihat ekonomi,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), semalam.

Mohamed Azmin yang juga Adun Bukit Antarabangsa itu turut menangkis tuduhan bahawa beliau seorang pemimpin yang suka memberi kenyataan 'tiada komen'.

“Kamu kejar saya dari sana sampai sini, ada saya kata tiada komen?

“Kamu pergi beri penjelasan pada dia (penganalisis politik). Berapa banyak komen yang saya beri tadi. Adil atau tidak? Semua soalan kamu tadi saya jawab. Sila berlaku adil kepada saya," katanya.

Beliau berkata demikian merujuk dakwaan penganalisis politik yang juga Ketua Kluster Politik Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Mustafa Ishak yang menyifatkan kepimpinannya seolah-olah lari daripada menyelesaikan isu apabila sering mengelak soalan wartawan.

Memetik laporan portal Selasa lalu, Mustafa berkata, beliau tidak melihat secara jelas pendekatan yang Mohamed Azmin akan ambil.

“Dia 'no comment' memanjang dan mengelakkan diri daripada memberikan jawapan sikap dan pendirian dia dalam isu di Selangor,” katanya

No comments:

Post a Comment