26 Dec 2014
Malaysiakini
Majikan
swasta di kawasan dilanda banjir digesa menimbang memberi cuti bergaji
kepada pekerja masing-masing sehingga keadaan pulih.
Timbalan setiausaha agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC)
A.Balasubramaniam berkata langkah itu boleh menolong meringankan
kesulitan yang dialami pekerja terbabit.
"Majikan sektor swasta sepatutnya bermurah hati memberi cuti bergaji kepada pekerja mereka ketika banjir melanda banyak negeri.
"Saya percaya kehidupan berpuluh ribu pekerja akan terjejas akibat
banjir teruk yang melanda Kelantan, Pahang, Terengganu, Perak dan
Perlis," katanya kepada Bernama.
Balasubramaniam berkata walaupun kebanyakan pekerja sektor swasta hanya
bergantung pada ihsan majikan mereka untuk mendapat cuti bergaji, namun
adalah menjadi tanggungjawab sosial majikan untuk menunjukkan bahawa
mereka mengambil berat tentang nasib yang menimpa pekerja masing-masing
dan memberi bantuan yang diperlukan, termasuk cuti bergaji ketika
berlaku bencana.
"Kami berharap majikan tidak mengambil langkah drastik terhadap pekerja
yang tidak dapat datang bekerja kerana keadaan yang kritikal," katanya.
Sementara itu, keadaan banjir tidak menunjukkan tanda akan surut dengan
segera, manakala mangsa yang dipindahkan di Kelantan, Terengganu, Pahang
dan Perak berjumlah 103,649 orang pagi ini, dengan Pahang mencatat
peningkatan mendadak jumlah mangsa yang dipindahkan dan Kelantan
mencatat penurunan kecil.
- Bernama
No comments:
Post a Comment