Friday, December 26, 2014

Banjir mungkin jejas sidang khas DUN 29 Dis?

26 Dec 2014

Situasi banjir yang semakin buruk di Kelantan, khususnya kawasan Kota Bharu meletakkan Sidang khas DUN untuk meminda Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 pada 29 Disember bagi membolehkan hudud dilaksanakan di negeri itu, dalam keadaan yang tidak menentu.

Kawasan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Kota Darul Naim, yang menempatkan dewan persidangan negeri, turut dinaiki air sedalam sekaki sejak petang semalam.

Menurut seorang kakitangan Unit Komunikasi Menteri Besar, operasi pusat pentadbiran kerajaan negeri Kelantan kini telah dipindahkan ke sebuah Dewan di Masjid Telipot - kira-kira 3km dari situ.

"Semua kenderaan rasmi kerajaan negeri juga sudah dialihkan ke tempat lebih selamat sejak petang semalam.

"SUK tidak lagi beroperasi, sudah pindah ke Masjid Telipot," katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Zam kepada Malaysiakini.

Sementara itu, Timbalan Speaker, Abdul Latif Abdul Rahman ketika dihubungi berkata setakat ini beliau tidak dimaklum sebarang perubahan sidang tersebut.

Katanya, sebarang perubahan mungkin diumumkan sendiri oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob dalam masa terdekat.
Malaysiakini

No comments:

Post a Comment