Zailah melawat ibu muda yang baharu melahirkan anak, di Kampung Lubok Gong semalam. 
  •  Zailah melawat ibu muda yang baharu melahirkan anak, di Kampung Lubok Gong semalam.
RANTAU PANJANG - Pas Kawasan Rantau Panjang menggesa pihak kerajaan menangani segera isu pemberian kad pengenalan kepada pendatang asing tanpa izin (Pati) tanpa mengikut undang-undang.
Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof berkata, sekiranya bilangan Pati di negara ini mencapai 6.5 juta orang, bayangkan jumlah subsidi dibazirkan kepada golongan tidak layak menerimanya.

Menurutnya, Pati tidak akan selamanya tinggal di negara ini dan wang gaji mereka sentiasa dihantar ke negara masing-masing menyebabkan kadar tinggi pengaliran keluar ringgit Malaysia.

"Perkara ini sering dibangkitkan namun mengapa menunggu sehingga ia menjadi isu besar, baru pihak berkuasa menjalankan siasatan," katanya ketika ditemui selepas melawat pesakit kronik dan ibu muda baharu melahirkan anak di Kampung Lubok gong, di sini, semalam.

Sebelum ini, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, kerajaan tidak terlibat dan tiada sebarang kaitan dengan 'Projek IC' di Sabah sebagaimana dibangkitkan oleh banyak pihak.

Sebaliknya beliau memberitahu, pengeluaran kad pengenalan secara haram didalangi sindiket dan individu tertentu.

Dr Ali turut memaklumkan, berdasar laporan Suruhanjaya Siasatan Pendatang Asing di Sabah, tiada pengeluaran kad pengenalan kepada pendatang asing dibuat demi kepentingan politik khususnya atas nama 'Projek IC'.

Katanya, berdasarkan laporan suruhanjaya tersebut, apa yang sebenarnya berlaku ialah pengeluaran kad pengenalan secara haram wujud disebabkan amalan rasuah oleh pegawai dan kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara dengan didorong faktor kewangan.