Tertuduh (tiga, kiri) keluar dari mahkamah, semalam  
  • Tertuduh (tiga, kiri) keluar dari mahkamah, semalam
KOTA BHARU - Padah buat seorang penganggur kerana menampar mertua dan mengasari isterinya hanya kerana nasi, dia didenda RM3,000 oleh mahkamah majistret, di sini, semalam.
Tertuduh, Nik Mohd Luqman Abdullah, 23, mengaku salah sengaja menyebabkan cedera kepada isterinya, Rosmanira Mahmood, 33, dengan menyepak, memukul dan menendang menggunakan kaki dan tangan sehingga kena di muka, tangan dan badan pengadu, Rabu lalu.

Tertuduh juga mengaku menyebabkan cedera kepada ibu mertuanya, Rahana Mustapha, 57, dalam kejadian sama di sebuah rumah di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Ketereh, di sini, jam 1.15 tengah hari sama.

Sebelumnya, pengadu menidurkan anak mereka berusia setahun lima bulan dan turut sama tertidur. Kemudian, dia ke dapur untuk makan nasi tetapi dipanggil suaminya.

Tertuduh kemudian bertanya, “dia (pengadu) buat apa” dan pengadu memberitahu dia hendak makan nasi namun suaminya berkata, “dia (tertuduh) sendiri belum makan nasi, tak kan isteri mahu makan dahulu”.

Ibu pengadu yang juga ibu mertua tertuduh di ruang tamu kemudian menyampuk, “takkan bini mu nak makan nasi tak buleh”, menyebabkan tertuduh meluru dan menampar muka wanita itu.

Pengadu cuba leraikan keadaan tetapi dia pula disepak, dipukul dan ditendang di kaki, tangan, muka dan badan.

Pada prosiding itu, tertuduh mengaku tidak mempunyai wang untuk menjelaskan denda. Majistret, Mohamad Nasrudin Mohamed mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara empat bulan daripada tarikh dia ditahan.
Sinar Harian