Saturday, December 27, 2014

N Sembilan pula dilanda banjir

27 Dec 2014
Negeri Sembilan menjadi negeri kelapan dilanda banjir sejak bencana itu melanda negara 10 hari lepas.

Lebih 300 penduduk di Negeri Sembilan terjejas, menjadikan keseluruhan mangsa banjir di seluruh negara kini mencecah 132,684 orang setakat pagi ini. Keadaan banjir di Kelantan, Terengganu, Johor, Pahang dan Perak pula semakin buruk manakala Perlis serta Kedah dilaporkan bertambah baik.

Di Kelantan, sejumlah 55,960 mangsa banjir berada di pusat pemindahan berbanding 45,467 semalam.

Cuaca di Kota Bharu dilaporkan mendung dan hujan sudah berhenti pagi ini. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual melawat negeri itu hari ini bagi meninjau sendiri keadaan banjir yang semakin merebak.

Keadaan di TERENGGANU juga dilapor semakin buruk dengan angka mangsa banjir meningkat kepada 35,028 orang berbanding 33,269 orang malam tadi.

Kemaman dan Dungun paling teruk terjejas apabila masing-masing merekodkan 24,912 dan 8,678 orang mangsa yang masih berada di tempat pemindahan, menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu.

Kuala Terengganu masih bertahan dengan 1,258 mangsa dan Hulu Terengganu 180 orang. Mangsa banjir di semua kawasan terjejas ditempatkan di 95 pusat pemindahan.

Banjir di Terengganu kini sudah meragut empat nyawa.

Di Johor, jumlah mangsa banjir juga bertambah kepada 1,104 orang daripada 896 malam tadi dengan Kota Tinggi menjadi daerah terbaharu terjejas, menurut Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri Johor.

Lima lagi daerah yang terjejas ialah Muar, Batu Pahat, Kulaijaya, Segamat dan Kluang.
Malaysiakini
 

No comments:

Post a Comment