KUALA LUMPUR:
PAS membantah sekeras-kerasnya tindakan Polis Antarabangsa (Interpol)
mengeluarkan Notis Merah iaitu waran tangkap dan senarai orang yang
dikehendaki kepada Presiden Kesatuan Ulamak Sedunia, Syeikh Dr Yusuf
Al-Qaradawi.
"Sesungguhnya ini adalah satu tindakan yang jelas 'double-standard'
dan jelas berpihak kepada rejim kudeta Mesir pimpinan Jeneral As-Sisi.
"Perkara ini amatlah dikesali kerana umum mengetahui kekejaman dan
kezaliman yang dilakukan oleh As-Sisi dan gerombolannya terhadap gerakan
Ikhwanul Muslimin," tegas Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar
dalam satu kenyataan.
Katanya, atas sifat dendam, kerajaan Mesir itulah yang menuntut Interpol bertindak sedemikian rupa.
Justeru, ujar beliau PAS memperingatkan bahawa tindakan Interpol itu
seolah-olah menyemarakkan lagi Islamophobia dalam kalangan orang bukan
Islam kepada Islam apabila ulama tersohor dunia Islam dikaitkan dengan
tuduhan menghasut keganasan dan aktiviti terorisme.
Katanya, konspirasi Barat untuk memburukkan Islam sudah sekian lama
berlaku dengan niat jahat mereka menakutkan dan menjauhkan masyarakat
umum daripada agama Islam.
"Kami juga kesal akan sikap kerajaan Malaysia yang masih berdiam-diri
dalam hal ini sedangkan Syeikh Yusuf bukanlah tokoh yang asing di
Malaysia ini," ujarnya lagi.
Ini, katanya kerana pihak kerajaan sendiri pernah menganugerahkan Dr
Yusuf Al-Qaradawi sebagai Tokoh Maal Hijrah 1431/2009 yang lalu.
Sehubungan itu, kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu Wisma Putra
sewajarnya bersifat proaktif dalam hal ini untuk membela tokoh hebat
yang telah menjadi mangsa teraniaya.
"Bukankah kerajaan sendiri sering mendabik-dada mengatakan Malaysia
berpengaruh, disegani dan dihormati di peringkat antarabangsa maka
tidaklah rugi untuk kita menyatakan pendirian dalam hal ini?" tanya
beliau.
Beliau berkata, PAS turut menyeru pertubuhan OIC agar menyatakan
pendirian mereka dalam hal ini kerana Syeikh Yusuf adalah bagaikan
mutiara dan khazanah yang tidak ternilai yang masih kita punyai dan
amatlah wajar dibela nasib beliau.
"Seluruh umat Islam wajar bersatu dan bersepakat untuk menyatakan
kekesalan dan bantahan kita terhadap tindakan Interpol ini," katanya.
PAS, tegas beliau mendesak agar Red Notice yang telah dikeluarkan itu
dapat ditarik balik dengan segera agar Interpol kekal sebagai institusi
yang bebas dan tidak berpihak.
Menurutnya, amatlah malang sekali apabila Interpol sanggup tunduk dan
bersekongkol dengan Rejim As Sisi yang kejam lagi zalim itu. - HARAKAHDAILY 20/12/2014
No comments:
Post a Comment