KUALA LUMPUR: Hampir tidak ada ibu bapa yang berpuas hati dengan keputusan peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang diumumkan, semalam.
"Macam-macam rungutan dan rasa tidak puas hati dapat didengari
mengenainya. Di sekolah, di rumah, di kedai kopi, berbual sesama rakan
dan di media sosial, terhampar luas luahan rasa tidak puas hati mereka
dengan PT3 ini," tulis Shahbudin Husin dalam blognya, semalam.
Menurutnya, simpati ibu bapa kepada anak-anak mereka mengenai beban
kerja persekolahan sepanjang mengikuti pembelajaran PT3 sejak tiga tahun
lalu bertambah lagi apabila keputusannya diumumkan semalam.
"Jika dulu mereka simpati dengan beban kerja yang terlampau banyak
kepada anak-anak mereka sehingga ada yang mengigau-igau dalam tidur,
kini ianya bertambah parah lagi kerana sistem yang dilaksanakan secara
mengejut dan tergesa-gesa itu ternyata hanya lebih banyak menumpahkan
air mata kesedihan berbanding tangisan kegembiraan," tulisnya lagi,
sebagaimana di bawah.
Hampir tidak ada ibu bapa yang berpuas hati dengan keputusan
peperiksaan PT3 yang diumumkan hari ini. Macam-macam rungutan dan rasa
tidak puas hati dapat didengari mengenainya.
Di sekolah, di rumah, di kedai kopi, berbual sesama rakan dan di
media sosial, terhampar luas luahan rasa tidak puas hati mereka dengan
PT3 ini.
Simpati ibu-bapa kepada anak-anak mereka mengenai beban kerja
persekolahan sepanjang mengikuti pembelajaran PT3 atau Pentaksiran
Tingkatan 3 sejak tiga tahun lalu bertambah lagi hari ini apabila
keputusannya diumumkan.
Jika dulu mereka simpati dengan beban kerja yang terlampau banyak
kepada anak-anak mereka sehingga ada yang mengigau-igau dalam tidur,
kini ianya bertambah parah lagi kerana sistem yang dilaksanakan secara
mengejut dan tergesa-gesa itu ternyata hanya lebih banyak menumpahkan
air mata kesedihan berbanding tangisan kegembiraan.
Ramai murid-murid yang kecewa dan menangis dengan keputusan yang
mereka diterima. Mereka bukannya bersedih kerana gagal dan tidak
memperolehi keputusan yang memuaskan tetapi berasa seperti diperbodohkan
dan dijadikan bahan ujikaji semata-mata oleh Kementerian Pelajaran.
Mereka juga merasa seperti tidak berbaloi dengan usaha dan susah-payah melakukan kerja-kerja sekolah selama tiga tahun ini.
Ini kerana sebelum ini Kementerian Pelajaran mengatakan tiada
peperiksaan akan diadakan tetapi pada Jun lalu tiba-tiba diumumkan ada
pula peperiksaan akan dijalankan. Sudah tentu ini menyebabkan guru-guru
menghadapi masalah kekangan masa menghabiskan semua sukatan pelajaran
yang ada.
Selama dua tahun sebelum ini belajar tanpa berorientasikan peperiksaan bagaikan hanya membuang masa saja.
Lebih parah lagi, cara pembelajaran yang diterima murid semasa
Tingkatan 1 dan 2 juga didapati berbeza dengan bentuk peperiksaan yang
dihadapi. Ini menjadikan bukan saja guru-guru garu kepala, bahkan
menyebabkan murid-murid lagi pusing kepala.
Tidak hairanlah keputusannya amat mengecewakan sekali, terutama dalam
subjek Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris. Ramai yang gagal atau
tidak mendapat keputusan memuaskan dalam ketiga-tiga subjek itu.
Tidak seperti selalunya, apabila sesuatu keputusan peperiksaan
diumumkan di mana ramai murid yang bergembira dengan pencapaian mereka,
tahun ini semuanya senyap dan sunyi. Tiada lagi tangisan kegembiran
seperti selalunya.
Sekolah-sekolah yang sebelum ini mendapat keputusan cemerlang dan
melahirkan ramai murid cemerlang dalam PMR turut memperolehi pencapaian
yang buruk akibat PT3 ini. Sekolah-sekolah berasrama penuh turut
menerima kesan yang sama. Banyak sekolah hari ini hanya dipenuhi
kesedihan dan tangisan seolah-olah berlaku kematian atau malapetaka.
Dalam masa yang sama, ada sekolah yang terpaksa mengurangkan jumlah
kelas Sains serta mengambil murid yang memperolehi gred D dalam subjek
Sains dan Matematik untuk Tingkatan 4 pada tahun hadapan kerana
kekurangan murid yang memperolehi keputusan cemerlang.
Ini tentunya memberi kesan kepada masa depan murid-murid tersebut
bagi menghadapi SPM nanti. Ia juga memberi kesan kepada masa depan
negara.
Sistem penilaian juga turut menjadi pertikaian di mana mereka yang
mendapat F dikategorikan sebagai tidak mencapai tahap minimum sedangkan
markah yang diperolehi adalah 39 peratus dan ke bawah. Ayat berlapik
digunakan untuk mengaburi sedangkan mengikut gred PMR ada subjek yang
memperolehi 25 peratus sudah dikira lulus.
Secara umumnya, PT3 yang dilaksanakan untuk menggantikan PMR adalah
sistem yang gagal oleh Kementerian Pelajaran. Secara langsung ia juga
menandakan kegagalan Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Perdana Menteri
dan Menteri Pelajaran yang memperkenalkan sistem pembelajaran baru ini.
Muhyiddin nampaknya seperti kebanyakan Menteri Pelajaran sebelum ini
yang sentiasa terbelenggu dengan keinginan untuk memperkenalkan sistem
pembelajaran baru semasa memegang jawatan itu tanpa memikirkan kesannya
kepada guru dan murid-murid. PT3 ini juga difahamkan dirangka oleh
sebuah konsultan luar negara, McKinskey & Co yang menyediakan Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia yang turut diumumkan oleh Muhyiddin
sebelum ini.
Setiap kali menteri bertukar tangan, setiap kali jugalah pelbagai
sistem dan dasar baru cuba diperkenalkan. Namun semuanya dilakukan tanpa
memikirkan kesannya kepada guru dan murid dan mereka seolah-olah bahan
ujikaji semata-mata sedangkan sepatutnya dasar dan sistem sedia ada
hanya perlu diperkemas dan ditambah baik sahaja.
Muhyiddin yang nampak gah melonjakkan namanya dalam Perhimpunan Agung
UMNO yang lalu dengan imej kesungguhan terhadap masa depan parti dan
Melayu serta berjaya menghalang Najib Razak daripada meneruskan
pemansuhan Akta Hasutan 1948, kini sedang menjadi perbualan rakyat
tentang kegagalannya sebagai Menteri Pelajaran.
Selain PT3 yang dianggap tanda kegagalannya sebagai pemimpin,
Muhyiddin juga menjadi kecaman ramai mengenai keupayaan BestariNet yang
turut dipertikaikan ramai guru dan murid-murid sedangkan projek itu
menelan belanja yang tinggi.
Persoalannya, di mana Muhyiddin ketika ini? Jika sedang bercuti dan
berehat di luar negara, pulanglah segera dan berikan penjelasan yang
meyakinkan demi masa depan anak-anak bangsa kita.
No comments:
Post a Comment