Monday, December 22, 2014

SPRM: Tak puas hati sila adu pada JK khas

21 Dec 2014

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggesa DAP mengemukakan bukti bagi membantu siasatan terhadap projek pembinaan jalan di Kapit, Sarawak yang penganugerahannya dipertikai.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata, pihaknya cuba menghubungi Ketua DAP Sarawak Chong Chieng Jen, yang membangkitkan perkara itu.

Shukri menegaskan bahawa mereka sedia bertemu dengan Chong sendiri berhubung perkara itu.

“Justeru, SPRM mengucapkan terima kasih dan berharap YB Chong Chieng Jen (kanan) dapat mengemukakan maklumat tambahan mengenai kes ini sekiranya ada.

“SPRM ingin menekankan bahawa SPRM tidak pernah menutup atau enggan menyiasat mana-mana aduan yang ada merit untuk disiasat,” katanya.

Shukri berkata, SPRM memerlukan maklumat terperinci untuk membolehkan siasatan lanjut dijalankan apabila menerima aduan dan maklumat.

“Dalam hal ini, masyarakat perlu memahami bahawa keterangan yang diperlukan hendaklah mengenai pembabitan kedua-dua pihak yang menerima dan memberi rasuah,” katanya.

Dalam kenyataannya kepada Malaysiakini hari ini, SPRM juga menegaskan bahawa mereka bertindak secara telus, bebas, profesional dan tidak bersikap selektif.

Shukri juga berkata, jika tidak berpuas hati, Chong boleh menghubungi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah dan Jawatankuasa Aduan, iaitu badan bebas yang memantau perjalanan SPRM.

“Anggota Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah terdiri daripada kalangan ahli parlimen, termasuk wakil DAP iaitu Dr Tan Seng Giaw,” katanya.
Malaysiakini

No comments:

Post a Comment