Dr Kamarul Zaman Yusoff 
  •  Dr Kamarul Zaman Yusoff
SHAH ALAM - Kerajaan Pusat perlu mempamerkan komitmen yang lebih tinggi dalam membantu kerajaan negeri memulihkan pembangunan dan kehidupan rakyat di negeri Kelantan.
 
Penganalisis Sosio Politik Kelantan, Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, ia perlu dilaksanakan jika dua parti antara Umno Kelantan dan Pas Kelantan bersepakat untuk bergabung bagi membentuk kerajaan campuran di negeri itu.
 
“Kita lihat semasa penubuhan kerajaan campuran antara Pas dan Umno dahulu. Perdana Menteri, Tun Abdul Razak pada masa itu memberikan bantuan kewangan sebanyak RM 14 juta kepada kerajaan Pas Kelantan untuk membayar dan menjelaskan hutang kerajaan negeri pada masa itu.
 
“Selepas itu barulah penggabungan antara dua kerajaan ini berlaku.  Jika Pas dan Umno Kelantan mahu wujudkan kerjasama lebih dari pasca banjir, mungkin kerajaan pusat boleh menunjukkan usaha sebagaimana yang dilakukan terdahulu,” katanya ketika ditemui Sinar Online selepas berakhirnya  Wacana Sinar Harian ke-34 bertajuk Kelantan Pasca Banjir di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, hari ini.
 
Katanya lagi, walaupun penggabungan kedua pihak  dalam menangani pasca banjir berjalan lancar, kedua Umno dan Pas seharusnya menunjukkan kesediaan dalam meneruskan kerjasama ini ke peringkat yang lebih tinggi.
 
“Penggabungan antara Pas dan Umno merupakan satu permulaan yang baik untuk menangani pasca banjir. 
 
Kalau lebih dari itu, kesemua pihak perlu menunjukkan kesungguhan dan  dan kesediaan dalam meneruskan kerjasama ini.
 
“Contohnya, kerajaan pusat boleh menunaikan sebahagian daripada tuntutan yang pernah dikemukakan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob dalam perjumpaan beliau dengan Perdana Menteri pada November lalu,” katanya lagi.