Laporan Sinar Harian semalam. 
Laporan Sinar Harian semalam. 
 
SHAH ALAM - Pergeseran antara bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah perkara yang tidak diperlukan dalam Umno selepas apa yang berlaku semasa zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri.
Pakar sains politik Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Muhamad Takiyuddin Ismail berkata, pemimpin Umno diyakini telah belajar daripada pengalaman lalu dan menyedari konflik seperti itu hanya akan merugikan parti tersebut seperti yang dilihat dalam PRU12.

Katanya, corak serangan Dr Mahathir kali ini dilihat sama seperti yang ditujukan kepada Abdullah dari 2006 hingga 2009.

"Kita harus faham pentadbiran BN adalah cerminan konsep parti menguasai kerajaan. Jadi apa saja konflik yang berlaku akan memberi kesan pada kerajaan sedia ada.

"Dalam episod yang terbaharu, agak nyata ia telah merebak ke ‘gear empat’ apabila media perdana mula menyerang kem Dr Mahathir secara jelas, mengulangi konflik Dr Mahathir-Abdullah apabila beberapa media digunakan untuk menyerang Dr Mahathir ketika itu. Jadi tidak mustahil kita akan menyaksikan ‘gear lima’ iaitu konflik lebih terbuka dan lebih tegang," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurutnya, walaupun BN dan PR tidak mendominasi pengaruh umum kerana perbalahan dan krisis berterusan, pengalaman beberapa PRU sebelum ini menunjukkan gabungan pembangkang selalunya berjaya menyelaraskan semua perbezaan yang wujud di saat-saat akhir demi matlamat lebih besar iaitu menumbangkan Umno dan BN.

"Jadi walaupun kedua-dua pihak dalam konflik, saya melihat kelebihan tetap berpihak pada PR kerana perbalahan dalam Umno akan terus menelanjangkan segala kelemahan mereka pada umum," katanya.

Katanya, Dr Mahathir berhak kritik pentadbiran Najib atas kapasitinya sebagai negarawan dan bekas pemimpin Umno namun ia perlu dilakukan secara berpada-pada.

"Apabila ia merebak ke skala begini, tentu sahaja masyarakat dapat buat kesimpulan kenapa semuanya serba tak kena dengan Dr Mahathir? Pemimpin mana yang dapat memuaskan hatinya?

"Kepimpinan Najib memang ada kelemahan dan ia ‘dilemahkan’ lagi apabila Dr Mahathir tidak putus-putus menjadi ‘shadow shogun’ dalam menentukan hala tuju Umno," katanya.