Datuk Seri Shahidan Kassim  
  • Datuk Seri Shahidan Kassim
KUALA LUMPUR - Bukan sesuatu yang baharu atau mengejutkan jika bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengkritik cara pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Namun ini mungkin kali pertama beberapa pemimpin tertinggi Umno dilihat secara terbuka tidak menafikan wujud pergeseran antara kem kedua-dua pemimpin berpengaruh itu dalam Umno.

Apa yang penting, mesej mereka adalah sama, iaitu kedua-dua tokoh Umno itu perlu duduk semeja dan menyelesaikan sebarang perbezaan pendapat yang timbul.

Kelmarin, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sebarang perbalahan perlu dibawa ke meja rundingan bagi mencari penyelesaian kerana kedua-dua pemimpin itu orang lama dalam politik.

“Semua pihak perlu ada had dan berpada-pada untuk menuding jari kerana ada banyak isu yang lebih besar, contohnya isu keselamatan Sabah,” katanya.

Krisis antara dua kem itu juga seolah-olah ‘disahkan’ apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, semalam menyebut beliau bersedia jadi orang tengah untuk menyelesaikan perbalahan antara dua kem itu.

“Tidak wajar berlaku pertembungan. Saya akan pastikan perkara ini tidak berterusan kerana merugikan negara. Saya akan jumpa Dr Mahathir dalam masa terdekat dan minta panduan dengan Perdana Menteri pada Rabu nanti (esok),” katanya selepas merasmikan Persidangan Parlimen Mahasiswa di sini, semalam.

Katanya, beliau berasa bertanggungjawab menghentikan perbalahan kedua-dua pihak kerana ia tidak harus dipanjangkan.

“Mungkin saya tidak berapa pakar, tapi saya cukup sedih jika perkara ini berpanjangan kerana agenda kita yang besar adalah untuk membangunkan negara dan membetulkan apa yang berlaku.

“Saya nak tengok kenapa masalah ini berterusan, mungkin boleh dielakkan jika semua pihak (berkaitan) bertenang, kalau sibuk saling  membantai tidak akan menguntungkan sesiapa pun,” ujarnya.

Krisis terbaharu itu timbul selepas Dr Mahathir dan beberapa veteran Umno dilihat berterusan mengkritik pentadbiran Najib.

Dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Harian pada Disember lalu, Dr Mahathir, yang menjadi perdana menteri selama 22 tahun (1981-2013) berkata, beliau tidak bersetuju dengan langkah Najib menukar banyak dasar ekonomi yang dilihat tidak memberi manfaat kepada negara serta mempersoalkan keputusan Najib berhubung pelaburan 1Malaysia Development Bhd dan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia.

Pandangan Dr Mahathir itu disokong veteran Umno, seperti bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dan bekas Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Sanusi Junid.

Seorang lagi pemimpin BN, Datuk Fadillah Yusof, berkata Dr Mahathir dan Najib yang mempunyai pengaruh kuat dalam kalangan rakyat negara ini ada kehebatan tersendiri.

“Masing-masing menghadapi kesulitan semasa mereka memimpin negara ini,” katanya.

Beliau juga bersetuju sekiranya kedua-dua tokoh ini bersemuka bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.

“Mereka adalah pemimpin yang bijak. Jadi, mereka mempunyai kebijaksanaan untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pula berkata, perbalahan antara kumpulan dua pemimpin itu perlu diselesaikan segera kerana ia boleh melemahkan parti.

Menurutnya, tumpuan perlu diberikan kepada agenda parti yang lebih besar.

“Bukanlah tempat kita untuk beri nasihat, tapi kita sebagai Pemuda yang juga generasi muda dalam Umno harap jangan kita timbulkan masalah dan polemik dalam parti.

“Kita mesti bersedia bekerja kuat kerana pilihan raya (umum) sudah tidak lama lagi. Seelok-eloknya masalah ini perlu diselesaikan dengan cepat," katanya, sambil menambah Pemuda Umno akan setia berdiri di belakang Najib.

Katanya, Pemuda Umno berpendirian bahawa parti itu perlu diperkuat dan tidak mahu melihat ada masalah dalaman yang boleh melemahkan Umno.