KUALA LUMPUR: PAS mengalu-alukan pengumuman penurunan harga petrol dan diesel berkuatkuasa 1 Januari 2015.
"Tindakan ini amatlah perlu bahkan patut dibuat lebih awal lagi agar
rakyat mendapat hak yang sewajarnya seiring dengan kejatuhan harga
minyak dunia," kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar.
Pada masa sama, katanya Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan
ada membuat seruan agar pemilik syarikat, pengilang, pengedar dan
peruncit menurunkan harga barangan.
"Adakah saranan itu benar-benar berkesan atau sekadar bersuara untuk menyedapkan hati sahaja?" tanya beliau dalam satu kenyataan
Ini kerana, katanya bermula 1 Januari juga, harga surat khabar di
bawah Syarikat New Straits Times Press iaitu New Straits Times (NST),
Berita Harian (BH) and Harian Metro (HM) dinaikkan 30 sen.
"Sungguh menghairankan, dalam keadaan kerajaan membuat seruan agar
harga barang diturunkan tetapi pihak berkepentingan di dalam NST berbuat
perkara sebaliknya," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.
Beliau berkata, pihak kerajaan juga sepatutnya menjadi contoh
tauladan dalam menurunkan harga barang kerana terdapat harga barangan
seperti gula, tepung gandum, dan minyak masak yang berada dalam senarai
harga barangan kawalan kerajaan.
Tambahnya, penurunan harga barangan ini pastinya akan dapat membantu
rakyat khususnya golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana dalam
berhadapan kos sara hidup yang begitu tinggi sekarang.
Menurutnya, dalam keadaan menjelmanya tahun baru 2015, detik
pelaksanaan GST juga kian menghampiri maka pihak kerajaan perlulah
membuat persediaan dan langkah yang proaktif untuk membantu rakyat.
"Hal ini kerana pihak kerajaan sendiri sudah pun mengakui pelaksanaan
GST kelak akan menjadi faktor penyumbang kepada kenaikan harga barang
dan berlakunya inflasi," katanya. - HARAKAHDAILY 2/1/2015
No comments:
Post a Comment