KUALA LUMPUR: Selebriti Abby Abadi menceritakan
pertemuan kali pertama dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat selama
dua jam di rumah murabbi ummah itu membuka lembaran baharu hidupnya
selepas berhijrah menutup aurat.
Beliau menyatakan demikian pada program Bicara Harakah bertajuk
'Perginya Seorang Murabbi, Terhentikah Perjuangannya?' di Harakah
Bazaar, Jalan Pahang Barat di sini petang semalam. Turut menjadi ahli
panel pada program yang dipengerusikan AJK PAS Pusat, Dr Riduan Mohd Nor
itu ialah Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani dan Bob Lokman.
"Sebelum ini saya hanya membaca surat khabar dan menonton televisyen
yang banyak memaparkan berita buruk tentang Tuan Guru Nik Aziz.
Hinggalah selepas hijrah, saya pada mulanya tidak mahu mendekatkan diri
dengan PAS, apabila pemimpin PAS mendekati saya dan meraikan saya,
akhirnya saya duduk di pentas PAS.
Katanya, selepas tiga kali berada di pentas PAS berceramah, Abby mula merasakan ingin bertemu dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz.
Menurutnya, selepas diuruskan, beliau dapat bertemu dengan Tuan Guru di rumah Allahyarham selama dua jam.
"Dua jam yang membuatkan saya kaku dan kelu mendengar nasihat dan apa
yang disampaikan Almarhum. Saya menangis, tidak mampu menahan sebak.
"Pemergian beliau membuatkan saya terlalu sedih. Beliau seorang yang
menjadikan saya semakin kuat untuk berada dalam jemaah ini, jemaah yang
mendaulatkan Islam. Saya sayang tok guru, saya rasai kehilangannya,
walaupun begitu kami semua redha," katanya lagi sambil mengelap matanya
yang bergenang dengan airmata.
Justeru, kata Abby setiap kali ke Kelantan pastinya rumah Tok Guru akan dikunjungi. - HARAKAHDAILY 27/2/2015
No comments:
Post a Comment