KUALA LUMPUR:
Kerajaan Selangor menegaskan sumber air mentah di kolam alternatif
sekitar negeri itu selamat digunakan malahan ia mematuhi kualiti air
mentah yang disyorkan dalam Garis Panduan Kualiti Minum Kebangsaan oleh
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur & Kemudahan
Awam Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Selangor, Zaidy
Abdul Talib, pensampelan kualiti air kolam-kolam ini dijalankan oleh
Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dan dianalis oleh Jabatan Kimia
Malaysia (JKM).
Bukan itu sahaja katanya, pemantauan kualiti air dijalankan melalui
tiga peringkat, iaitu pemantauan di kolam alternatif oleh Lembaga Urus
Air Selangor (Luas) dan JKNS, kemudian pemantauan air mentah di sungai
dan muka sauk oleh LUAS, operator loji dan JKNS, dan akhirnya pemantauan
air terawat selepas proses rawatan di loji rawatan air (LRA) oleh
operator loji dan JKNS.
"LUAS telah memulakan operasi pengepaman air kolam alternatif di
Bestari Jaya semenjak 2 Februari 2015 yang lalu dengan pengeluaran
sehingga 700 juta liter sehari (JLH).
"Kerajaan Negeri Selangor mengambil serius dalam usaha memastikan
sumber air mentah di Selangor adalah selamat untuk digunakan oleh
rakyat,"katanya kepada Harakahdaily.
Tambahnya, pensampelan bagi tahun 2015 yang terkini dilakukan pada 18
Februari 2015, dan dilakukan secara mingguan terhadap kolam-kolam yang
digunakan untuk pengepaman.
Zaidy tampil memberi penjelasan berikutan ada pihak cuba mengelirukan
rakyat dengan meragui tahap kesihatan air mentah di kolam ini.
Kerajaan Negeri Selangor juga melalui LUAS telah mengadakan satu
seminar pemakluman status semasa kolam-kolam sumber air alternatif ini
pada 18 Jun 2014 yang lalu untuk memberi makluman kepada masyarakat dan
pihak-pihak berkaitan berkenaan status kualiti dan kuantiti air
kolam-kolam sumber air alternatif Negeri Selangor.
Pada masa yang sama, katanya, pelepasan air empangan di Sungai
Selangor dikawal dengan ketat melalui kelulusan daripada LUAS secara
harian.
"Beberapa semakan pelepasan juga dilakukan sehingga 3 kali sehari
untuk mengoptimakan aliran air sungai sedia ada dan sumber air daripada
kolam alternatif tersebut.
"Gabungan langkah pengurangan pelepasan air empangan dan pengepaman
air kolam alternatif ini dapat memenuhi keperluan Loji Rawatan Air dan
memanjangkan hayat kapasiti empangan,"katanya. - HARAKAHDAILY 27/2/2015
No comments:
Post a Comment