Azmin ketika dikelilingi media, semalam.  
  • Azmin ketika dikelilingi media, semalam.
SUBANG JAYA - Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali mengesahkan jawatan Penasihat Ekonomi Selangor masih milik Datuk Seri Anwar Ibrahim meskipun ketua pembangkang itu sudah menjalani hukuman penjara lima tahun bermula kelmarin.
Azmin berkata, tiada sebab menggantikan jawatan itu kepada individu lain kerana nasihat Anwar masih diperlukan.

“Jawatan (penasihat ekonomi) kekal. Mengapa tidak?

“Kita masih lagi boleh menerima mesej beliau melalui peguam dan ahli keluarganya. Kita masih lagi perlukan nasihat beliau,” ujar Azmin ringkas kepada pemberita selepas menyaksikan upacara menandatangani perjanjian antara Perspektif Masa Sdn Bhd & China Railway Engineering Sdn Bhd dan upacara menandatangani perjanjian pinjaman antara MBSB & CREC – Projek D’Rapport di Grand Dorsett, semalam.‎

Mengulas lanjut mengenai kesediaan beliau memegang jawatan ketua pembangkang, Azmin berkata, beliau sedia memikul apa jua tanggungjawab yang bakal diberikan.

Ketika diminta mengulas sama ada beliau sanggup menggantikan Anwar, beliau berkata, ia bergantung kepada keputusan pada mesyuarat Majlis Pimpinan PR.

“(Kalau) dah pilih Alhamdulillah, saya kena buat kerja. Jadi apa juga amanah yang diberikan saya akan laksanakan sebaik mungkin.

“Saya akan melihat keputusan Majlis Pimpinan PR. Bukan soal saya mahu atau tidak, tetapi kekuatan PR selama ini pun berdasarkan prinsip perbincangan dan membuat keputusan dengan muafakat.

“Lagipun, ramai lagi pemimpin lain dalam PR yang boleh jadi ketua,” katanya.