
KUALA LUMPUR, 22 FEB – Sukar bagi Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng
untuk mempercayai kenyataan kononnya mutu pendidikan tinggi negara sudah
setaraf negara maju seperti United Kingdom, Jerman dan Australia.
Lip Eng dalam kenyataannya hari ini justeru itu menggesa Menteri
Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh untuk menunjukkan bukti-bukti bagi
menyokong dakwaan tersebut, termasuk hasil penilaian oleh institusi
antarabangsa.
“Walaupun kenyataan tersebut dihujani komen negatif dan sinis, saya sebaliknya benar-benar teringin mahu percaya.
“Saya mahu percaya bahawa Idris Jusoh bukan sekadar berjenaka,
walaupun seluruh warga internet menyambut kenyataannya dengan gelak
ketawa,” ujarnya sinis.
Beliau meminta Idris mengemukakan penilaian oleh institusi
antarabangsa untuk menunjukkan bahawa universiti tempatan berada di
kedudukan yang sama dengan universiti di UK, Jerman dan Australia.
Ini kerana menurutnya ranking QS World University 2014 menunjukkan
Malaysia masih jauh ditinggalkan institusi pengajian tinggi di United
Kingdom dan Australia.
“19 universiti UK berada dalam ranking 100 teratas, tetapi menurut
ranking tahunan itu, hanya Universiti Malaya yang layak berada dalam
kedudukan 200 teratas, itu pun pada tangga ke 151,” jelasnya.
“Kedua, saya minta kesemua 35 menteri Kabinet mendedahkan di mana
anak-anak mereka melanjutkan pelajaran tinggi. Ke universiti awam
tempatan, atau universiti asing?” tambah beliau lagi.
Kata Lip Eng lagi, sekiranya Idris gagal mengemukakan dua bukti ini,
menteri tersebut tidak mempunyai pilihan kecuali meminta maaf serta
menarik balik kenyataannya itu.
“Saya mahu percaya bahawa Idris Jusoh tidak sekadar syok sendiri,
atau syok bersama rakan-rakan jemaah menteri,” katanya. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment