KUANTAN - Majlis Belia Negeri (MBN) Pahang mencadangkan supaya kerajaan menghapuskan sistem pilihan raya kecil (PRK) demi menjimatkan kewangan kerajaan serta tidak membuang masa dan tenaga semua pihak yang berkepentingan.
 
Presiden Majlis Belia Negeri Pahang Khairul Amin Osman berharap kerajaan dapat meneliti cadangan itu selaras dengan perkembangan zaman serta kepentingan perkhidmatan kepada masyarakat.

"Penghapusan sistem PRK ini akan menjimatkan peruntukan kerajaan yang telah disusun mengikut keperluan di semua tempat. Apabila berlangsungnya PRK, demi menarik undi, pelaksanaan sesuatu projek di tempat-tempat lain yang benar-benar memerlukannya terpaksa ditangguhkan perlaksanaan.

 "Rakyat juga tidak perlu terheret dalam kancah kempen politik yang hanya merugikan masa dengan sebahagiannya terpaksa mengambil cuti serta menjadi jentera parti berkempen semasa PRK sedangkan semua kempen telah dilaksana semasa pilihan raya umum (PRU) terdahulu," menurutnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
 
Beliau turut mencadangkan parti yang menang atau penyandang bagi mana-mana kerusi Dun dan Parlimen terbabit boleh mengemukakan calon baharu untuk mengisi kekosongan berkhidmat sehingga PRU akan datang.

Menurut Khairul lagi, sekiranya tempat tersebut dimenangi calon Bebas maka Perdana Menteri atau Menteri Besar akan menentukan calon gantian untuk kekosongan berkenaan.
 
Justeru itu, katanya, MBN Pahang mencadangkan PRK Dun Chempaka dan PRK Parlimen Permatang Pauh tidak diadakan bagi menghormati keputusan rakyat yang telah dibuat semasa PRU13 sebelum ini.
 
Kerusi Dun Chempaka kosong berikutan kematian penyandang, bekas menteri besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dari Pas manakala kerusi bagi Parlimen Permatang Pauh kosong apabila penyandang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dari PKR dikenakan hukuman penjara lima tahun selepas disabitkan kesalahan meliwat pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.- Bernama