Monday, February 9, 2015

Harga barang: Turunkan juga kadar tol

.
KUALA LUMPUR: Kadar tol terutama di lebuh raya utama sekitar Lembah Klang mesti diturunkan bagi memastikan harga barang keperluan dan makanan dapat diturunkan.

Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan berkata, beberapa buah syarikat konsesi lebuh raya yang dimiliki sebahagiannya oleh kerajaan seperti Prolintas (PNB), IJM Corporation Berhad (Kumpulan Wang Persaraan, Lembaga Tabung Haji dan PNB) dan PLUS (UEM, Khazanah Nasional Berhad) perlu bertindak demikian.

"Penurunan beberapa item itu mampu membentuk persekitaran positif terhadap pengguna sekurang-kurangnya bagi mendepani pelaksanaan GST yang semestinya tidak dipersetujui oleh saya dan sejumlah besar rakyat Malaysia yang lain," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu sarannya, kerajaan mesti menurunkan harga barang kawalan seperti gula, gas petroleum cecair (LPG), minyak masak dan tepung gandum.
Penurunan harga barang-barang tersebut dijangka memberi kesan positif terhadap harga jualan makanan dan minuman.

"Contohnya, harga gula pada 1 Januari 2010 ialah RM 1.65 sen sekilo dan ia terus mencatatkan kenaikan sehingga RM 2.84 sen pada 10 Oktober 2013. Pemansuhan subsidi gula sebanyak RM 0.34 sen telah menjimatkan perbelanjaan kerajaan kira-kira RM 550 juta setahun," katanya yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Pada masa yang sama ujar beliau, jika merujuk kepada pasaran harga ‘raw sugar’ juga telah menunjukkan penurunan yang ketara namun tidak diketahui jumlah keuntungan yang dijana oleh empat buah kilang pemprosesan gula di Malaysia.
"Begitu juga, tindakan pemantauan dan penguatkuasaan yang lemah telah menyebabkan beberapa peniaga di Kuala Lumpur menjual harga gas 14kg dari RM 29.50 sehingga RM 32.00 walhal ia telah ditetapkan pada paras RM 26.60 sahaja," katanya lagi. - HARAKAHDAILY 9/2/2015 

No comments:

Post a Comment