KOTA BHARU:
Kelantan akan memastikan kepesatan pembangunan hartanah di negeri ini
seiring dengan kemampuan penduduk tempatan untuk memiliki aset tersebut.
Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata, penduduk tempatan
terutamanya Bumiputera hendaklah memanfaatkan sepenuhnya kuota 70
peratus dengan memiliki aset yang ditawarkan.
Katanya, anak-anak Kelantan hendaklah merebut peluang tersebut melalui kepesatan pembangunan hartanah di negeri ini sekarang.
“Kita tidak mahu ruang hartanah yang ditawarkan terlepas pula kepada
pihak lain biar pun kuota bukan Bumiputera ditetapkan kira-kira 30
peratus,” katanya pada program Ucap Tama Ketua Pegawai Eksekutif
Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) di sebuah hotel di sini,
semalam.
Hadir sama Penasihat Undang-Undang Kelantan, Shahidani Abd Aziz,
anggota Exco, Datuk Che Abdullah Mat Nawi, Adun Pulai Chondong, Zulkifli
Mamat, Ketua Pegawai Eksekutif PMBK, Ahmad Zakie Ahmad Shariff dan
Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan, Dr Wan
Zawawi Wan Salleh.
Pembangunan hartanah di Kelantan agak pesat kebelakangan ini di mana
pemaju dengan kerjasama agensi kerajaan negeri berminat membina
kondominium, hotel dan ruang perniagaan.
Bandar Baru Lembah Sireh, Kubang Kerian dan Tunjung menjadi lokasi strategik pembangunan baru di jajahan Kota Bharu.
Ustaz Ahmad juga berkata, PMBK diwujudkan antara lain berperanan bagi
memastikan hak milik orang Melayu tidak terlepas ke tangan bangsa lain.
“PMBK perlu mempertahankan tanah-tanah rizab Melayu daripada
berpindah ke tangan orang lain. Agensi itu perlu memainkan peranan bagi
memastikan hak orang Melayu terus dapat dipertahankan,” katanya.
Beliau juga berkata, kerajaan negeri akan memastikan penduduk tidak
membina rumah di kawasan tebing sungai bagi mengelakkan kesan negetif
kepada pemuliharaan sungai.
Menurutnya tebing-tebing sungai yang terhakis menyebabkan banyak kelodak mendap dalam sungai sehingga menjejaskan aliran air.
“Begitu juga kesan daripada aktiviti perlombongan dan pertanian akan dipastikan tidak menjejaskan kualiti sungai.
“Larangan membina rumah di tebing sungai bukan perkara baru,
sebaliknya tidak ramai yang mengendahkan sehingga datang banjir besar
yang menyebabkan banyak harta benda musnah,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 9/2/2015
No comments:
Post a Comment