Sinar Harian
- Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel disoal oleh wartawan ketika sidang media berkaitan kemelut yang melanda dalam parti itu di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Kemelut MIC bertambah hangat apabila Presidennya, Datuk
Seri G. Palanivel hari ini mengancam akan mengambil tindakan
undang-undang terhadap Pendaftar Pertubuhan (ROS) sekiranya badan itu
tidak menarik balik semua arahan terhadap parti kaum India itu sebelum
Selasa ini.
Surat arahan ROS supaya parti itu mengadakan semula pemilihan semua
jawatan termasuk di peringkat cawangan dan bahagian adalah bercanggah
dengan akta pertubuhan dan perlembagaan parti itu, katanya.
Palanivel berkata, jika ROS gagal berbuat demikian, maka MIC tidak akan
teragak-agak untuk mengambil tindakan mahkamah bagi memperoleh keadilan
untuk parti berusia 69 tahun itu.
"Saya tidak mempunyai pilihan, tetapi mendapatkan keadilan untuk MIC
daripada mahkamah terhadap ketidakadilan ROS ini yang terang-terangan
mengabaikan undang-undang.
"Semua surat termasuk surat yang dikeluarkan pada 5 Disember 2014, 31
Disember 2014 dan 5 Februari 2015 harus ditarik balik dengan kadar
segera sebelum Selasa ini (17 Februari)," katanya dalam sidang media di
sini, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar berkata,
keputusan itu telah dimaklumkan dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan
Nasional semalam oleh Setiausaha Agung Datuk S. Sothinathan.
Beliau turut menegaskan mesyuarat tergempar Jawatankuasa Kerja Pusat
(CWC) sementara yang diadakan semalam di sini, adalah tidak sah.
Palanivel mendakwa empat wakil ROS hadir di mesyuarat itu dan menurutnya ini juga tidak sepatutnya berlaku.
Beliau turut menafikan dakwaan kononnya pelantikan Sothinathan selaku
Setiausaha Agung parti itu tidak sah kerana menurut artikel 46.5 dan 49
perlembagaan parti : "Presiden mempunyai kuasa untuk lantik sembilan
CWC, setiausaha agung dan bendahari agung".
Ketika ditanya mengenai pemilihan semula parti itu, beliau berkata ia
akan diputuskan selepas hari Selasa ini dan "akan menunggu keputusan
mahkamah".
Bagaimanapun apabila ditanya pemberita, Palanivel yang juga anggota
Parlimen Cameron Highlands berkata akan mempertahankan jawatan
presidennya dalam pemilihan semula parti itu.
Turut hadir Sothinathan dan Bendahari Agung Datuk S. Murugesan.
Pada 9 Februari lepas, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid
Hamidi berkata, parti komponen Barisan Nasional itu perlu mengadakan
pilihan raya baharu untuk semua jawatan yang dipilih, antara April dan
Julai tahun ini untuk mengelak daripada dibatalkan pendaftarannya.
Krisis itu timbul selepas ROS membatalkan pemilihan tiga jawatan naib
presiden dan 23 jawatan CWC pada pemilihan agung parti yang diadakan di
Melaka pada November 2013 berikutan aduan penyelewengan.
Dalam surat bertarikh 5 Disember 2014, ROS mengarahkan MIC mengadakan pemilihan semula untuk jawatan itu dalam tempoh 90 hari.
Surat tersebut mencetuskan pelbagai konflik dalam kalangan anggota parti sehingga ke hari ini. - Bernama
No comments:
Post a Comment